Kuala Lumpur: Penyanyi popular, Tomok bersyukur apabila empat helai seluar dan dua baju yang terkena tumpahan pengilat kuku secara tidak sengaja oleh anaknya itu sudah dibeli pengikutnya selepas dia membuat perkongsian video di Instagram, malam tadi.
Tomok atau nama sebenarnya, Shah Indrawan Ismail, 39, berkata, ramai rakan dan pengikutnya di Instagram yang menghantar Direct Message (DM) dan berminat untuk membeli seluar dan baju berkenaan.
“Alhamdulillah, saya sangat terharu dan bersyukur kerana empat helai seluar dan dua baju itu sudah habis dijual.
“Ramai rakan dan pengikut yang DM, selepas saya buat hantaran video kedua di Instagram pagi tadi dengan meletakkan secara terperinci harga RM800 untuk setiap seluar dan baju pula berharga RM300 dan RM250,” katanya kepada Harian Metro.
Malam tadi, Tomok terpaksa membayar ganti rugi sebanyak RM5,593 kepada butik pakaian berjenama di sebuah pusat beli-belah terkemuka, di sini, apabila anaknya secara tidak sengaja menumpahkan pengilat kuku pada empat helai baju dan empat seluar di butik berkenaan.
Katanya, anaknya tertumpahkan pengilat kuku ke atas empat helai seluar yang setiap satunya berharga RM1,299 dan baju berharga RM899 dan RM499.
Tomok berkata, dia hanya menjual dua baju yang terkena pengilat kuku itu kerana mahu menyimpan lagi dua baju yang berharga RM499 itu untuk anak-anaknya bila mereka besar nanti.
“Terima kasih buat semua pengikut yang DM di Instagram dan berminat untuk membeli seluar dan baju terbabit,”katanya.
Mengulas mengenai kejadian itu, Tomok berkata, pada mulanya, dia terkejut apabila melihat harga seluar yang terkena pengilat kuku berkenaan.
“Berderau darah saya apabila melihat harga seluar itu. Seumur hidup, saya sendiri tidak pernah memakai seluar harga semahal itu hingga mencecah lebih RM1,000 dan ‘limited edition’.
“Anak saya yang berumur tiga tahun dengan tidak sengaja tumpahkan pengilat kuku di seluar dan baju itu. Kami suami isteri memang tidak perasan anak ada memegang pengilat kuku kerana dia bersama pembantu rumah dan isteri pula ketika itu mahu membayar harga seluar yang mahu dibelinya,” katanya.
Tomok berkata, ia satu pengajaran buatnya dan keluarga untuk lebih berhati-hati bila ke pusat beli-belah selepas ini.
“Benda dah nak jadi dan kejadian seperti itu tidak pernah berlaku sebelum ini. Ia pengajaran bukan untuk saya saja sebaliknya buat semua ibu bapa di luar sana untuk lebih berhati-hati ketika bawa anak-anak kecil ketika keluar membeli-belah bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku,”katanya. (Sumber Berita Harian Online)