KANGAR: Jualan tiket di terminal feri Kuala Kedah dan Kuala Perlis di sini perlahan menjelang Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (LIMA ’23) pada 23 hingga 27 Mei ini.
Ia berbeza berbanding LIMA 2019 apabila merekodkan seramai 25,800 penumpang sehari melibatkan 64 trip perjalanan masuk ke Langkawi.
Bagaimanapun, trend kemasukan pengunjung ke Pulau Langkawi menggunakan perkhidmatan feri di dua terminal berkenaan dilihat mendapat permintaan tinggi khususnya pada tarikh 26 dan 27 Mei.
Pada 26 Mei, tiket terjual di terminal Kuala Kedah ke Langkawi sebanyak 2,645 manakala di Kuala Perlis pula sebanyak 2,319.
Jualan pada 27 Mei pula menyaksikan tiket terjual di terminal Kuala Kedah ialah sebanyak 1,034 dan di Kuala Perlis pula 917.
Manakala baki tiket belum terjual pada 26 Mei di Kuala Kedah adalah sebanyak 1,140 dan di Kuala Perlis sebanyak 433. Pada 27 Mei, terminal di Kuala Kedah masih menyaksikan baki tiket belum terjual sebanyak 2,205 dan di Kuala Perlis, 2,065.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengurus Sumber Manusia dan Operasi Konsortium Ferry Line Ventures Sdn. Bhd, Kapten Baharin Baharom berkata, jumlah tempat duduk bagi perkhidmatan feri di dua terminal itu pada tanggal 23 hingga 25 Mei masih berbaki 3,715.
“Jumlah kekosongan tempat duduk ini melibatkan sebanyak enam tambahan trip perjalanan yang disediakan khas sempena penganjuran LIMA ‘23 ini,” katanya.
LIMA ’23 bakal berlangsung pada akhir Mei ini dengan bertemakan Titik Perhubungan Perdagangan Maritim dan Aeroangkasa Asia.
Kali terakhir pameran dwi tahunan itu dianjurkan adalah pada tahun 2019.
Mengulas lanjut, Baharin berkata, permintaan tempahan tiket feri pada LIMA ‘23 tidak begitu menggalakkan sebagaimana penganjurannya sewaktu tahun 2019.
“Trend kemasukan pelancong ke Pulau Langkawi pada LIMA ‘23 dilihat suram mungkin disebabkan beberapa faktor antaranya seperti kurangnya promosi, cuaca panas, cuti sekolah dan ekonomi yang menguncup,” katanya.
Dalam pada itu, Baharin berkata, bersempena penganjuran LIMA ‘23, konsortium juga akan beroperasi bermula pukul 7 pagi sehingga 10 malam.
Ujarnya, persediaan turut dilakukan bagi menerima jumlah kemasukan pelancong terutamanya ketika waktu puncak iaitu pada 26 dan 27 Mei.
“Konsortium juga akan membuka lebih banyak trip perjalanan feri pada tarikh yang dilihat mempunyai permintaan tinggi,” katanya.-(Sumber Utusan Malaysia Online)