MONACO: Bintang Manchester City, Erling Haaland dan pemenang Piala Dunia Wanita dari Sepanyol, Aitana Bonmati masing-masing dipilih sebagai Pemain Bola Sepak Terbaik Lelaki dan Wanita Eropah dalam Monaco awal pagi tadi.
Penyerang Norway, Haaland meledak 52 gol dalam 53 perlawanan untuk membantu City merangkul kejuaraan treble Liga Juara-Juara, Liga Perdana Inggeris dan Piala FA Inggeris.
Bonmati pula membantu Sepanyol melakar sensasi menjuarai Piala Dunia Wanita bulan lalu.
Haaland, 23, yang cemerlang pada musim pertamanya di City sejak tiba dari Borussia Dortmund mengetepika rakan sepasukan, Kevin De Bruyne dan Lionel Messi.
Messi beraksi bersama Paris Saint-Germain (PSG) musim lalu tetapi sudah berpindah ke Inter Miami dalam Liga Bola Sepak Utama (MLS) di Amerika Syarikat (AS).
“Saya seperti bermimpi. Inilah impian saya sejak kecil, jadi berjaya melakar kejayaan ini bersama pasukan sesuatu yang istimewa,” kata Haaland.
Bonmati, 25, menyinar ketika membantu Barcelona menjuari Liga Juara-Juara Wanita musim lalu sebelum dinobat sebagai pemain terbaik Piala Dunia Wanita di Australia dan New Zealand.
Dia mengatasi rakan senegara, Olga Carmona, penjaring gol kemenangan pada final Piala Dunia menentang England serta penyerang Chelsea dan Australia, Sam Kerr bagi memenangi anugerah UEFA itu. – (Utusan Malaysia Online)