KUALA LUMPUR: Dua pemenang Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-35, Beto Kusyairy dan Elly Mazlein mendapat kejutan penaja utama, Fellera Skin apabila menerima hadiah sampingan berupa pakej Umrah VVIP pada Disember ini.
Pengasas Fellera Skin, Syarifah Khyra Muhsin berkata, pakej umrah VVIP yang dihadiahkan itu bakal memberi pengalaman luar biasa buat pemenang ABPBH 35.
“Selain mengadakan majlis makan malam bersama pengedar eksklusif Fellera Skin, acara ini juga bertujuan meraikan dua pemenang ABPBH 35 iaitu Beto dan Elly atau Kak Lina Pom Pom.
“Dua selebriti ini terpilih menerima hadiah yang akan menyusuri perjalanan bermakna dan insya-Allah, menjadi kenangan manis buat mereka.
“Kami beri kad untuk mereka buka dan lihat sendiri hadiah diterima. Hadiahnya, pakej umrah VVIP yang bukan biasa-biasa dan akan memberikan satu pengalaman berbeza.
“Insya-Allah, jika semuanya berjalan lancar, mereka termasuk Bintang Paling Popular ABPBH 35, Bell Ngasri akan terbang ke Tanah Suci pada Disember depan.
“Alhamdulillah, saya sangat gembira selepas melihat keterujaan mereka menerima kejutan ini,” katanya kepada BH Online.
Mengulas lanjut, Syarifah Khyra memaklumkan pemilihan dua selebriti berkenaan dilakukan berikutan mahu menghargai bakat insan yang lama berjuang dalam industri seni.
“Mereka menjadi pilihan kami sebab bagi saya dan suami, Beto dan Elly adalah senior dan menantikan detik meraih trofi ABPBH sejak sekian lama.
“Kami sangat menghargai mereka sebagai orang lama, mempunyai bakat yang besar luar biasa untuk menghiburkan rakyat Malaysia dengan lakonan mereka.
“Kriteria inilah yang dipilih supaya mereka rasa lebih dihargai,” jelasnya ketika ditemui dalam sebuah majlis makan malam di sebuah restoran terkemuka, di sini malam tadi.
Sementara itu, Beto yang memenangi kategori Aktor Filem Popular menyifatkan hadiah menunaikan umrah ibarat bulan jatuh ke riba.
“Saya ada perancangan untuk ke Tanah Suci pada penghujung tahun ini. Tak sangka pula tiba-tiba saya dapat kejutan ini.
“Saya anggap hadiah mengerjakan umrah ini adalah satu jemputan daripada Allah. Alhamdulillah, saya bersyukur dipertemukan dengan Fellera Skin yang dapat menunaikan hajat saya,” ujarnya.
Bagi Elly, dia terharu dengan penghargaan diberi penaja utama ABPBH 35 itu.
“Saya berterima kasih kepada Fellera Skin. Pengasasnya, Syarifah Khyra ada memaklumkan pemilihan kami agak istimewa kerana sudah lama dalam industri.
“Alhamdulillah, akhirnya dapat juga kami merasa memegang trofi ini. Jadi, hadiah umrah ini adalah pengiktirafan lebih sedikit dan bonus buat saya dan Beto,” kata pemenang kategori Pengacara TV Popular ini.
Terdahulu, malam kemuncak bertemakan Ekspresi Legasi Seni yang disiarkan secara langsung oleh TV3 dan strim ‘live’ Tonton dari Panggung Sari, Istana Budaya (IB) di ibu negara pada 21 Julai lalu menyaksikan artis ‘senior’, Bell diangkat sebagai Bintang Paling Popular.
Selain trofi, Bell yang menjadi calon paling diminati netizen sejak pusingan awal ABPBH 35 turut diumumkan sebagai pemenang kategori Artis Komedi Popular menewaskan Zizan Razak, Johan, Jaa Suzuran dan Syahmi Sazli.
Bagi kategori Bintang Paling Popular yang turut dimenanginya, Bell membawa pulang trofi, kotak eksklusif Fellera Skin X ABPBH 35 dan pakej umrah eksklusif tajaan Fellera Skin.
Pada malam kemuncak ABPBH 35 yang dikendalikan Johan dan Ain Edruce, pemenang 12 kategori utama diumumkan iaitu BBNU Lelaki Popular dimenangi Amir Ahnaf; BBNU Wanita Popular (Anna Jobling); Penyanyi Lelaki Popular (Khai Bahar); Penyanyi Wanita Popular (Aina Abdul) dan Artis Kolaborasi/Duo/Berkumpulan Popular (Dolla).
Turut meraih trofi adalah Aktres Filem Popular (Sophia Albarakbah); Aktor TV Popular (Meerqeen); Aktres TV Popular (Anna Jobling) dan Penyampai Radio Popular (Tyzo)
Antara lain diumumkan, pemenang tujuh kategori sampingan, Ekstra! iaitu Couple Drama Popular yang diraih Meerqeen dan Anna Jobling melalui drama Melur Untuk Firdaus; Couple Filem Popular (Datuk Aaron Aziz dan Nadiya Nisaa dalam filem Dekatnya Cinta); Drama Popular (Melur Untuk Firdaus) dan Lagu Paling Boom (Terus Hidup/Aina Abdul).
Turut mencipta kejayaan, trofi Content Creator Popular dimenangi Alieff Irfan; TikTokers Popular (Sally Whoo) dan Lawak Viral Popular (Syahmi Sazli, Asif dan Yoe Parey).
ABPBH 35 turut menghadiahkan Anugerah Khas Ekspresi Legasi Seni ABPBH 35 kepada pelakon Hollywood, Tan Sri Michelle Yeoh dan Anugerah Eksplorasi Seni ABPBH 35 kepada penyanyi Malaysia mencipta nama di Amerika Syarikat (AS), Yuna atau nama sebenar, Yunalis Mat Zara’ai. (Sumber Berita Harian Online)