DENGKIL: Walaupun ada antara kanak-kanak penghidap Cerebral Palsy (CP) atau kelumpuhan otak tidak mampu bercakap, jelas terpancar di wajah mereka keceriaan dan keterujaan apabila dibawa beriadah di Paya Indah Discovery Wetland, di sini.ds by
Semua 12 anak dari Akademi Great itu menghidap CP sejak kecil, bebas melakukan aktiviti luar terutama melihat keindahan alam semula jadi.
Aktiviti riadah anjuran Gabungan Anak-Anak Palsi Serebrum (GAPS) dengan kerjasama Gamuda Land Play (GL Play) itu disertai mereka berusia satu sehingga 18 tahun, di mana mereka berpeluang menaiki trak safari sejauh 7.5 kilometer, selain aktiviti memberi badak makan, lawatan ke tasik buaya dan aktiviti di makmal sains.
Bapa kepada Medina Zahra, 11, Md Zulkarnain Muhamad Bahrun, 47, berkata dia teruja melihat kemudahan disediakan di kawasan itu amat sesuai untuk orang kurang upaya (OKU).
Selain anak keduanya itu disahkan menghidap CP selepas dilahirkan, dia mendapat pelbagai maklumat berguna daripada program sedemikian.
“Awalnya, saya bimbang bawa anak keluar dari rumah. Dua tahun pertama menjaganya, langsung tidak keluar rumah.
“Namun selepas menyertai aktiviti seperti ini dan melihatkan kemudahan disediakan, saya selesa membawa anak keluar beriadah.
“Cuma, bukan semua tempat ada kemudahan OKU dan perlu memilih tempat sesuai,” katanya berkorban berhenti kerja kerana mahu menjaga anak sepenuh masa.
Pengalaman baharu
Bekas pensyarah, Aishah Mohd Nasaruddin, 38, berkata dengan menyertai aktiviti sedemikian, ia dapat memberi banyak pengalaman baharu kepadanya dan anak keduanya yang menghidap CP, Muhammad Hafiz Firdaus, 7.
Ibu dua anak itu berkata, dia akan terus menyertai aktiviti sedemikian untuk menambahkan ilmu anak.
“Walaupun anak saya hanya duduk di kerusi roda sejak bayi, tetap yakin pendedahan kepada alam semula jadi membuka mindanya,” katanya kini menjadi guru di Akademi GAPS sejak setahun lalu.
Pengasas dan Presiden GAPS, Rafidah Rafizah Ahmad, berkata aktiviti itu memberi peluang anak istimewa meneroka keindahan alam.
“Pemilihan lokasi yang lengkap dengan kemudahan untuk OKU perlu dititikberatkan.
“Di Paya Indah Discovery Wetland ini, kemudahan lengkap dan amat sesuai untuk anak kanak-kanak beriadah.
“Dengan adanya aktiviti luar dapat membuka mata ibu bapa atau penjaga yang ada anak CP tidak takut membawa anak ke keluar,” katanya ditemui selepas Outing Day Pelajar Akademi Great di sini, baru-baru ini.
Selain pelajar CP Akademi Great, turut mengikuti program itu adalah ibu bapa dan guru akademi.
Ketika ini, kemudahan khas untuk OKU masih berkurangan terutama di tempat riadah membabitkan laluan kerusi roda.
Justeru, beliau berharap ramai pihak tampil menyediakan kemudahan sesuai untuk OKU, sebagai persiapan negara menjadi negara tua menjelang 2030.
“Jika ada kemudahan itu, negara juga boleh menjadi antara lokasi pelancongan yang boleh diakses semua golongan terutama OKU tanpa masalah,” katanya.
Pengurus Besar Riadah dan Hospitality Gamuda Land, N Sanjay, berkata pihaknya turut menyokong komuniti tempatan seperti Orang Asli dan golongan autisme.
“Kerjasama dengan GAPS diharapkan menjadi permulaan lebih banyak acara penting dan inklusif ditawarkan kepada NGO,” katanya. (Sumber Berita Harian Online)