Tertarik dengan zikir, wanita pilih Maal Hijrah untuk syahadah

GEORGE TOWN – Bagi Yong Siew Fung, 40, zikir yang selalu didengari dari kawan-kawan beragama Islam menjadikan dia sering tenang terutama apabila menghadapi masalah.

Malah, dari zikir-zikir tersebut, Siew Fung perlahan-lahan turut mengikutinya secara diam-diam dan ini menjadikan perasaannya semakin tenang.

Akhirnya, setelah beberapa tahun mengikuti zikir tersebut, dia semakin faham erti setiap zikir dan mengambil keputusan mengucapkan dua kalimah syahadah untuk memeluk Islam sempena Maal Hijrah.

“Saya mendengar kawan-kawan perempuan beragama Islam selalu berzikir dan solat.

“Bila mendengar zikir hati saya tenang. Perlahan-lahan saya turut ikuti kawan-kawan berzikir secara diam-diam dan hati ini rasa bertambah tenang lagi.

“Hari ini sempena Maal Hijrah, saya mengambil keputusan untuk bersyahadah. Hati saya kini semakin tenang,” katanya yang bekerja di sebuah kedai elektrik di sini.

Siew Fung bersyahadah di bawah program ‘Syahadah Jayakan Maal Hijrah’ anjuran Persatuan Infaq Kebajikan Umah Takaful Pulau Pinang (IKUT) yang diketuai penaungnya, Zolkifly Md. Lazim.

Wanita itu melafazkan syahadah di hadapan Komtar yang dipimpin oleh bekas Pengarang Berita Utusan Malaysia, Amir Sarifudin Mansor.

Menceritakan perjalanan hidupnya, Siew Fung berkata, sebaik sahaja dilahirkan di dunia ini, ibunya meninggal dunia.

Bapanya pula telah berkahwin lain sebelum meninggal dunia pada tahun lalu.

“Memang saya tidak mengenali ibu kandung saya. Malah kuburnya saya tidak tahu di mana kerana tiada siapa yang hendak beritahu, Saya juga tidak mempunyai adik-beradik kandung, yang ada adik-adik tiri,” katanya yang tinggal menyewa di sebuah bilik.

Menurutnya, setelah berkahwin pada 2016 pelbagai masalah mula timbul menyebabkan dia berpisah dengan suami.

Jelasnya, sehingga kini dia tidak menemui suaminya dan mendapat tahu terdapat orang ketiga.

“Tapi semua yang berlaku ada hikmahnya. Kini hati saya lebih tenang kerana zikir dan sebaik sahaja melafazkan syahadah pada Maal Hijrah,” katanya yang bercadang memilih nama ‘Suzana’ sebagai nama baharunya nanti.

 Bagi Ng Ching Hwa, 54, dia banyak merantau hingga ke Kuala Lumpur dengan bekerja sebagai buruh binaan.

Ng Ching Hwa (kanan) melafazkan syahadah yang dipimpin Zolkifly Md. Lazim

“Saya sudah lama ingin peluk Islam sejak merantau hingga ke ibu negara tetapi tidak tahu cara yang betul.

“Akhirnya, baru-baru ini saya bertemu seorang rakan yang telah memeluk Islam. Dari situ saya mendapat maklumat lebih lanjut mengenai Islam.

“Pada Maal Hijrah ini, saya lafazkan syahadah sebagai pengakuan saya adalah seorang muslim.

“Ini merupakan hijrah saya. Hati saya turut tenang selepas mengucap dua kalimah syahadah,” katanya melafazkan syahadah yang dipimpin oleh Zolkifly.

Sementara itu, Zolkifly berkata, sempena Maal Hijrah, pihaknya merancang beberapa program termasuk ‘Syahadah Jayakan Hijrah’.

“Hari ini kita berjaya kumpulkan lebih 20 orang mualaf bagi meraikan Siew Fung dan Ching Hwa yang baharu sahaja memeluk Islam.

“Ini bagi membolehkan mereka mengenali antara satu sama lain.

“Kita juga mahu mereka memahami dan menghayati apa itu Maal Hijrah,” katanya.

Related Articles

[td_block_social_counter facebook="mykosmopolitan" twitter="tagdivofficial" youtube="tagdiv" style="style8 td-social-boxed td-social-font-icons" tdc_css="eyJhbGwiOnsibWFyZ2luLWJvdHRvbSI6IjM4IiwiZGlzcGxheSI6IiJ9LCJwb3J0cmFpdCI6eyJtYXJnaW4tYm90dG9tIjoiMzAiLCJkaXNwbGF5IjoiIn0sInBvcnRyYWl0X21heF93aWR0aCI6MTAxOCwicG9ydHJhaXRfbWluX3dpZHRoIjo3Njh9" custom_title="Stay Connected" block_template_id="td_block_template_8" f_header_font_family="712" f_header_font_transform="uppercase" f_header_font_weight="500" f_header_font_size="17" border_color="#dd3333" open_in_new_window="y" manual_count_facebook="525"]
- Advertisement -spot_img

Latest Articles