GEORGE TOWN – Sejak kecil lagi dia sering mendengar serta melihat rakan-rakan sebaya berdoa dan solat setiap pagi tanpa berputus asa hingga ia menjadi daya tarikan untuknya mengucapkan dua kalimah syahadah.
Bagi Jammie Ooi Beng Huat, 58, hasratnya untuk memeluk Islam telah lama terpendam dan selama ini dia tercari-cari cara terbaik kerana tidak mengetahuinya bahawa ia sebenarnya satu langkah yang mudah.
“Semasa tinggal di kampung, saya selalu tengok dan mendengar kawan-kawan sebaya berdoa dan solat setiap pagi.
“Bila saya tanya, kawan-kawan memberitahu semua doa itu adalah mendoakan yang baik-baik sahaja termasuk untuk diri saya.
“Bila sudah dewasa, kawan-kawan itu tidak berputus asa untuk terus berdoa,’’ katanya.
Beng Huat melafazkan syahadah di bawah program ‘Komtar Bersyahadah’ yang dipimpin oleh Penaung Persatuan Infaq Kebajikan Umah Takaful Pulau Pinang (IKUT), Zolkifly Md. Lazim.
IKUT merupakan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang aktif membela nasib golongan mualaf di Pulau Pinang.
Beng Huat yang pernah bekerja di pasar borong dan sebagai pengawal keselamatan menambah, perasaannya kini lebih tenang selepas bersyahadah kerana pernah melalui pelbagai pengalaman termasuk melibatkan hal rumah tangga.
“Kini saya mahu tumpukan untuk mempelajari agama Islam,” katanya tanpa enggan mengulas lanjut mengenai perjalanan hidupnya.
Seorang lagi saudara baharu, Lee Tian Heng, 51, memberitahu, laluan hidupnya yang lalu amat getir dan kini terpaksa menumpang tidur di tempat-tempat tertentu.
“Akhir-akhir ini hidup saya tidak menentu dan kerap kali terpaksa mendapatkan makanan percuma.
“Tapi saya yakin bahawa Islam akan membela nasib para penganutnya. Saya peluk Islam tanpa sebarang paksaan dan tiada sebarang janji termasuk wang ringgit.
“Saya yakin Allah SWT akan membantu saya,” katanya yang pernah bekerja sebagai tukang masak.
Tian Heng mengucapkan dua kalimah syahadah yang dipimpin oleh bekas Pengarang Berita Utusan Malaysia, Amir Sarifudin.
Sementara itu, Yong Khong Lai, 41, memberitahu, perjalanan hidupnya dari Ipoh hingga terpaksa membawa diri ke Pulau Pinang mengajarnya mengenai ketenangan dan erti hidup.
“Biarlah yang berlalu menjadi pengalaman berharga untuk saya.
“Saya pernah bekerja sebagai promoter, bekerja di Genting Highland dan banyak lagi.
“Saya juga pernah berumah tangga dan mempunyai seorang anak yang kini berusia 13 tahun. Namun itu merupakan sejarah silam. Saya mahu meneruskan hidup ini dengan tenang sebab itu saya pilih Islam,” katanya yang mengucapkan dua kalimah syahadah yang dipimpin oleh Zolkifly.
Soon Lay Chuan, 45, pula berkata, dia peluk Islam bukan kerana wang ringgit seperti yang dituduh oleh sesetengah pihak.
“Saya tahu ada yang buat tuduhan bahawa kalau peluk Islam akan dapat sejumlah wang.
“Saya peluk Islam secara sukarela dan kini berasa tenang. Saya ada pendapatan sendiri. Malah Zolkifly tidak pernah menjanjikan wang ringgit,” katanya yang melafaz syahadah yang dipimpin oleh Zolkifly.
Sementara itu, Zolkifly berkata, memang terdapat tuduhan mengatakan bahawa mereka yang peluk Islam akan diberikan sejumlah wang.
“Sesiapa pun boleh tanya sendiri kepada saudara-saudara baharu yang diuruskan oleh IKUT mengenai perkara ini.
“Tiada sesiapa pun yang menjanjikan wang ringgit. Mereka peluk Islam adalah kerana mahukan ketenangan,” katanya.