GEORGE TOWN – Nampak memang mudah, namun hakikatnya ia sebenarnya sesuatu yang memerlukan kesabaran, usaha lebih gigih serta pemahaman mendalam apabila mengendalikan sekumpulan belia pekak mengharungi aktiviti lasak.
Begitulah yang dilalui oleh para jurulatih dari Success Outdoor Solution (SOS) apabila diberi tanggungjawab mengendalikan lebih 50 belia pekak termasuk ahli jawatankuasa persatuan tersebut.
Kalangan belia yang terbabit dalam aktiviti lasak itu melibatkan komuniti pekak dan juga dari kalangan belia normal tetapi mempunyai latar belakang keluarga pekak.
Program selama tiga hari itu anjuran Unit Belia Pekak Malaysia di bawah Persekutuan Orang Pekak Malaysia (MFD) dan diadakan dengan kerjasama Unit Belia Pekak Pulau Pinang serta berlangsung di Kem White Resort, Balik Pulau dekat sini.
Lima jurulatih SOS yang terlibat dalam program tersebut terdiri daripada Pengarah Urusannya, Emran Mohd. Shah; Wong Yu Chin (Aishah); Ismail Mohd. Yasin; Tengku Maria Tengku Mohd. Arifin dan Muhammad Naf’an Mohd. Rafid.

Perjalanan program turut berjalan lancar apabila para jurulatih terbabit dibantu oleh jurubahasa isyarat, Siti Zubaidah Mohd. Lani dari MFD.
Sementara itu, Emran yang juga dikenali dengan panggilan Pak Tam memberitahu, untuk mengendalikan kumpulan orang kurang upaya (OKU) seperti komuniti pekak, pihaknya memerlukan persiapan rapi.
Jelasnya, ini termasuk mendalami budaya kehidupan mereka selain mampu berinteraksi serta berkomunikasi dengan komuniti berkenaan.

“Dalam hal ini, kami juga perlu mampu sedikit sebanyak menggunakan bahasa isyarat.
“Dengan mampu menggunakan bahasa isyarat, setiap mesej, maksud serta arahan dapat disampaikan dengan tepat.
“Apabila mesej dapat disampaikan, perjalanan program akan lancar termasuk ketika taklimat berkaitan keselamatan kerana ia melibatkan program lasak,” katanya.
Beliau juga memberitahu, sebelum ini pihaknya juga telah berjaya mengendalikan beberapa aktiviti melibatkan OKU termasuk orang buta, kerdil dan autisme.
SOS sebelum ini berjaya membawa sebanyak 40 orang buta mendaki Gunung Kinabalu, berkayak di Sungai Perak melibatkan golongan kerdil dan autisme serta beberapa aktiviti lasak lain.
“Banyak program yang telah kami kendalikan dan antaranya berjaya mendapat pengiktirafan Malaysian Book of Records,” katanya.

Dalam pada itu, Presiden Unit Belia Pekak Malaysia, Iskandar Mohamad Sazali telah menyampaikan sijil penyertaan kepada setiap peserta pada majlis penutup program berkenaan.