Majlis Kebangsaan: Ditubuhkan untuk membantu komuniti pekak, golongan OKU lain

KUALA LUMPUR – Kerajaan dalam proses menubuhkan sebuah Majlis Kebangsaan yang akan menggabungkan semua pertubuhan bukan kerajaan yang dianggotai orang kelainan upaya (OKU) termasuk komuniti pekak.

Majlis Kebangsaan itu dijangka dapat direalisasikan sebelum November depan iaitu sebelum pembentangkan Bajet 2026.

Senator Isaiah Jacob yang dipertanggungjawabkan menjaga komuniti OKU di negara ini memberitahu, harapannya majlis tersebut dapat diwujudkan paling awal pada akhir Julai depan.

Menurutnya, melalui majlis tersebut, akan diwujudkan beberapa kategori antaranya untuk orang pekak dan bisu, austisme, sindrom down dan beberapa kategori lain.

Beliau berkata, setiap pertubuhan akan mempunyai wakil dalam Majlis Kebangsaan tersebut untuk menyampaikan keperluan serta pembelaan yang diperlukan mereka.

“Majlis Kebangsaan ini bertujuan menyatukan semua pertubuhan yang dianggotai OKU. Melaluinya kerajaan dapat menyelaraskan peruntukan yang adil agar tiada pertubuhan tercicir.

“Selepas ini, mana-mana pertubuhan yang dianggotai OKU tetapi tidak menjadi ahli Majlis Kebangsaan ini, pertubuhan itu tidak lagi beroleh peruntukan dari kerajaan.

“Oleh itu, kita akan pastikan setiap pertubuhan mempunyai wakil dalam majlis ini. Apabila dapat diwujudkan sebelum November depan, majlis ini dapat mengetengahkan keperluan bajet mereka untuk diluluskan oleh Dewan Rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat Presiden Persatuan Sukan Orang Pekak Negeri Selangor (SELSDEAF), Sarkunan a/l Balakrishnan di pejabatnya di sini.

Isaiah menambah, melalui Majlis Kebangsaan itu juga, komuniti OKU boleh menyarankan sebarang penambahan atau pindaan kepada Kabinet berkaitan Akta OKU 2008.

Sementara itu, Sarkunan dalam kunjungan tersebut menyatakan hala tuju SELSDEAF, aktiviti yang dirancang selain keperluan persatuan tersebut yang melibatkan komuniti pekak di seluruh negeri Selangor.

Sarkunan juga menyatakan SELSDEAF bersedia menyertai Majlis Kebangsaan berkenaan demi kepentingan persatuan dan juga ahli-ahlinya.

“Ini satu berita gembira, SELSDEAF bukan sahaja mengalu-alukan penubuhannya, malah bersedia menyertai majlis berkenaan,” katanya.

Related Articles

[td_block_social_counter facebook="mykosmopolitan" twitter="tagdivofficial" youtube="tagdiv" style="style8 td-social-boxed td-social-font-icons" tdc_css="eyJhbGwiOnsibWFyZ2luLWJvdHRvbSI6IjM4IiwiZGlzcGxheSI6IiJ9LCJwb3J0cmFpdCI6eyJtYXJnaW4tYm90dG9tIjoiMzAiLCJkaXNwbGF5IjoiIn0sInBvcnRyYWl0X21heF93aWR0aCI6MTAxOCwicG9ydHJhaXRfbWluX3dpZHRoIjo3Njh9" custom_title="Stay Connected" block_template_id="td_block_template_8" f_header_font_family="712" f_header_font_transform="uppercase" f_header_font_weight="500" f_header_font_size="17" border_color="#dd3333" open_in_new_window="y" manual_count_facebook="525"]
- Advertisement -spot_img

Latest Articles