KEPALA BATAS – Masjid At-Taqwa, Taman Bertam Indah meneruskan aktiviti tahunannya meraikan saudara baharu dan kali ini sebanyak 45 mualaf dijamu berbuka puasa selain diberikan bantuan kepada mereka.
Aktiviti meraikan golongan mualaf itu merupakan acara tahunan masjid berkenaan terutama pada bulan Ramadan.
Selain sumbangan barangan makanan, golongan mualaf itu diturut diberikan duit raya sebagai persiapan menyambut 1 Syawal yang hampir tiba.
Program menyantuni golongan mualaf itu hasil kerjasama dengan Persatuan Infaq Kebajikan Umah Takaful Pulau Pinang (IKUT).
Hadir pada majlis berkenaan ialah Pengerusi Masjid At-Taqwa, Badrul Salleh; Setiausaha masjid, Abdul Malik Abdul Razak dan Penaung IKUT, Zolkifly Md. Lazim.
Dalam pada itu, seorang lelaki, Teoh Hai Chua secara sukarela memeluk Islam yang dipimpin oleh Abdul Malik.
Hai Chua, 69, yang sebelum ini bekerja sebagai pemandu teksi, melafazkan syahadah sambil disaksikan oleh para khariah masjid.

Saudara baharu itu ketika ditemui memberitahu, dia sudah lama memikirkan untuk bersyahadah.
“Saya sebelum ini bertanyakan kepada rakan-rakan Melayu mengenai Islam termasuk cara-cara untuk peluk Islam.
“Sehubungan itu, saya memilih Ramadan yang mulia ini untuk bersyahadah,” katanya yang tinggal berseorangan dan belum pernah mendirikan rumah tangga.
Mengenai kehidupannya, Hai Chua berkata, walaupun tidak mempunyai ahli keluarga, namun dia memiliki ramai rakan-rakan saudara baharu.
“Mereka ini banyak membantu saya,” katanya.
Sebaik sahaja peluk Islam, Hai Chua terus membayar zakat fitrah.
“Rasa tenang apabila dapat bersyahadah dan juga dapat terus bayar zakat fitrah,” katanya.
Sementara itu, Zolkifly memberitahu, kalangan mualaf itu datang dari sekitar Pulau Pinang.
“Program meraikan golongan mualaf ini kerap menjadi aktiviti Masjid At-Taqwa dan di masjid ini juga ramai yang telah memeluk Islam,” katanya.

