Oleh Norhayati Yahya
KUALA LUMPUR – Apabila kerajaan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu, negara menyaksikan ratusan perniagaan terpaksa menutup operasi akibat tidak mampu menampung kerugian ekoran tiada aktiviti dijalankan terutama sektor peruncitan.
Di kala kerajaan berusaha mengawal penularan pandemic Covid-19 dengan perlaksanaan PKP, peniaga pula merayu agar kelonggaran diberikan supaya aktiviti perniagaan boleh dijalankan.
Bagi syarikat A&A Empire Sdn Bhd, yang memiliki enam rantaian butik tudung Bokitta di ibukota, pandemik ini memberi impak yang sangat besar kerana perniagaan mereka tertumpu di dalam pusat membeli belah.
Pandemik Covid-19 telah merubah situasi negara dan pengunjung di pusat membeli belah telah menurun hamper 50 peratus.
Menurut Ketua Pegawai Pemasarannya, Datin Nurul Azni Roslan (Datin Ayu), sejak PKP dilaksanakan pada Mac lepas, pendapatan syarikatnya menurun sebanyak 80 peratus.
“Semasa PKP mula dilaksanakan, semua pihak tidak tahu apa yang perlu dilakukan kerana kita masih tidak mempunyai polisi ‘kerja dari rumah’. Ini adalah pengalaman pertama.
“Motivasi pekerja dan juga pihak pengurusan telah menurun dan kami buntu untuk mencari langkah terbaik menjalankan perniagaan tanpa boleh membuka premis di pusat membeli belah.
“Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) jarang mempunyai simpanan aliran tunai untuk tempoh enam bulan operasi, bagaimanapun, bantuan-bantuan yang diberikan oleh kerajaan sebagai contoh subsidi upah banyak membantu PKS untuk bertahan,” katanya.
Untuk melayakkan PKS mendapat bantuan-bantuan yang ditawarkan kerajaan, syarikat perlu menepati kriteria antaranya mencarum dengan Perkeso.
Menurut Datin Ayu, A&A Empire mempunyai dua platform perniagaan dalam talian bagaimanapun tidak meletakkan sebarang strategi untuk membangunkannya.
Beliau yakin, apabila PKP gelombang kedua diumumkan, pemilik-pemilik perniagaan sudah bersedia dengan strategi masing-masing bagaimana untuk menjalankan pernigaan dengan norma baharu.
“Jangan putus asa. Mental kena kuat dan segera bangkit. Jika perlu ubah perniagaan, guna baki kewangan yang ada untuk lakukannya. Jangan terus menunggu dan berharap.
“Tukar strategi dan fokus kepada perniagaan dalam talian,” katanya.
A&A Empire Sdn Bhd mempunyai enam butik Bokita di Suria KLCC, Alamanda Putrajaya, Ayer@8, Putrajaya, Aeon Shah Alam, Nu Sentral dan Parkson Setia City Mall termasuk dua platform dalam talian www.bokittalover.com dan Bokitta.os di Shopee.