Cools suntik semangat Harimau Malaya

NAMA Dion Cools mula meniti di bibir para peminat Harimau Malaya.

Sentuhan pemain kacukan yang berpangkalan di Eropah itu ditagih menjelang aksi ketiga Kumpulan B kempen Piala AFF Suzuki 2020 menentang Indonesia di Stadium Nasional Singapura pada 19 Disember ini.

Kehadiran Cools, 25, akan memperkuatkan benteng pertahanan Harimau Malaya yang dilihat sangat rapuh ketika tewas 0-3 kepada Vietnam pada Ahad lalu.

Pemain pertahanan kanan yang memiliki ketinggian 1.85 meter itu juga mempunyai kebolehan untuk menjaringkan gol seperti mana yang dilakukannya ketika membantu Midtjylland mencatat kemenangan pada saingan Liga Super Denmark, Februari lalu.

Selain Midtjylland, dia juga pernah beraksi bersama Club Brugge dan OH Leuven.

Cools yang sudah tiga kali menyarung jersi Harimau Malaya merupakan seorang pemain berpengalaman setelah membuat 28 penampilan bersama pasukan remaja Belgium.

Dia membuat penampilan pertama bersama Harimau Malaya ketika tewas 0-4 kepada Emeriyah Arab Bersatu pada Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, 3 Jun 2021.

Selain memperkukuhkan benteng pertahanan, kehadiran Cools juga akan menyuntik semangat baharu kepada para pemain Harimau Malaya.

Mereka perlu menebus kekalahan kepada Vietnam dengan menewaskan Indonesia, sekali gus melayakkan diri ke separuh akhir.

Sudah tentu kelibat Cools akan melegakan pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe yang ketika ini menghadapi krisis kekurangan pemain.

Cools mungkin akan digandingan bersama pemain pertahanan tengah dan kapten, Aidil Zafuan Abd Radzak, Shahrul Saad dan Syahmi Safari.

COOLS (kiri) akan memperkuatkan benteng Harimau Malaya.

Bagaimanapun, tahap kecergasan Aidil Zafuan dan Shahrul masih dalam pemantauan selepas mereka mengalami kecederaan hamstring ketika aksi bertemu Vietnam.

Jika Aidil Zafuan tidak cergas sepenuhnya, Cheng Hoe akan menggandingkan Cools bersama Dominic Tan.

Di posisi tengah pula, Cheng Hoe mempunyai pilihan untuk menurunkan Baddrol Bakhtiar, Kogileswaran Raj atau Junior Eldstal yang masih dalam proses pemulihan kecederaan otot di bahagian abdomen.

Cheng Hoe juga sudah boleh menarik nafas lega selepas tiga pemain yang diuji positif Covid-19 sebelum ini iaitu penjaga gol, Khairulazhan Khalid; pemain sayap, Faisal Halim dan pertahanan kanan, Quentin Cheng kembali menyertai sesi latihan pasukan.

Khairulazhan akan bersaing hebat dengan Khairul Fahmi Che Mat yang melepaskan tig gol ketika tewas kepada Vietnam.

Di posisi serangan pula, Cheng Hoe mempunyai pilihan antara Luqman Hakim dan Guilherme de Paula sambil dibantu Safawi Rashid.

Cheng Hoe perlu lebih bijak untuk menyenaraikan kesebelasan utama kerana Indonesia juga mempunyai kemampuan untuk menewaskan Malaysia.

Skuad bimbingan Tae-Yong Shin itu sudah pasti mahu menebus dua kekalahan berturut-turut kepada Malaysia di pusingan kedua Kelayakan  Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pada September dan November 2019.

Sepanjang enam pertemuan terakhir, Malaysia menang empat kali berbanding Indonesia.

Indonesia juga membuka kempen Piala AFF Suzuki 2020 dengan penuh bergaya selepas membelasah Kemboja 4-2 dan Laos 5-1. Mereka dijadualkan menentang Vietnam di Stadium Bishan malam esok.

Jika Indonesia berjaya menewaskan Vietnam, skuad Garuda itu akan menghuni tangga teratas Kumpulan B, sekali gus melayakkan diri lebih awal ke separuh akhir. 

Namun, jika sebaliknya, perlawanan menentang Malaysia akan menjadi lebih ‘hangat’ kerana kedua-dua pasukan mengintai peluang untuk ke pusingan seterusnya.

Anak-anak buah Cheng Hoe perlu merantai pergerakan pemain tengah, Even Dimas dan Rachmat Irianto yang muncul sebagai penjaring terbanyak Indonesia ketika ini dengan dua gol ketika ini.

Selain Even, kelibat Asnawi Mangkualam, Irfan Jaya, Witan Sulaeman, Ezra Walian dan Ramai Rumakiek juga perlu dijaga kerana masing-masing sudah menjaringkan satu gol.

Related Articles

[td_block_social_counter facebook="mykosmopolitan" twitter="tagdivofficial" youtube="tagdiv" style="style8 td-social-boxed td-social-font-icons" tdc_css="eyJhbGwiOnsibWFyZ2luLWJvdHRvbSI6IjM4IiwiZGlzcGxheSI6IiJ9LCJwb3J0cmFpdCI6eyJtYXJnaW4tYm90dG9tIjoiMzAiLCJkaXNwbGF5IjoiIn0sInBvcnRyYWl0X21heF93aWR0aCI6MTAxOCwicG9ydHJhaXRfbWluX3dpZHRoIjo3Njh9" custom_title="Stay Connected" block_template_id="td_block_template_8" f_header_font_family="712" f_header_font_transform="uppercase" f_header_font_weight="500" f_header_font_size="17" border_color="#dd3333" open_in_new_window="y" manual_count_facebook="525"]
- Advertisement -spot_img

Latest Articles