Gantian percuma sijil rosak akibat banjir – SSM

0
206

SEMUA dokumentasi yang musnah akibat banjir baru-baru ini akan digantikan secara percuma,  umum Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur hari ini.

Menara SSM di KL Sentral Kuala Lumpur.

SSM menjelaskan, penggantian semula Sijil Perakuan Pendaftaran Perniagaan pemilik-pemilik perniagaan yang musnah akibat bencana banjir itu merupakan sebahagian daripada  inisiatif ‘Pengecualian Bayaran Bagi Cetakan Perakuan Pendaftaran Kepada Pemilik Perniagaan Yang Terlibat Dengan Bencana  Alam’.

“Inisiatif ini diperkenalkan bagi membantu pemilik perniagaan yang terlibat atau terkesan dengan bencana banjir yang telah melanda beberapa buah negeri baru-baru ini, untuk mendapatkan salinan cetakan sijil berkenaan tanpa sebarang bayaran.

“Bagi mendapatkan salinan cetakan Sijil Perakuan Pendaftaran Perniagaan secara percuma, pemilik perniagaan yang terkesan boleh hadir ke kaunter perkhidmatan SSM di seluruh negara bersama laporan polis atau dokumen berkaitan yang membuktikan bencana berlaku di premis perniagaan atau alamat kediaman pemilik perniagaan tersebut,” kata kenyataan itu.

Tempoh pengecualian ini berkuatkuasa dalam tempoh 60 hari selepas berlakunya bencana alam. Sila layari soalan lazim berkenaan inisiatif ini di portal rasmi SSM, www.ssm.com.my .

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Pusat Panggilan SSM melalui talian 03-7721 4000 atau emel kepada enquiry@ssm.com.my.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here