Lorong kecemasan bukan lokasi bengkel segera

0
254
Datuk Suret Singh

Menjadikan lorong kecemasan yang  selebar dua meter bukan sahaja berbahaya malah ia boleh menjadi pusara di lebuh raya pada bila-bila masa.

Pengerusi Lembaga Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), Datuk Suret Singh berkata, cubaan membaiki kenderaan di lorong kecemasan secara statistik telah mengorbankan banyak nyawa pengguna  lebuh raya.

KEADAAN kenderaan yang dinaiki sebuah keluarga dari Melaka ke Shah Alam, Selangor remuk teruk selepas dirempuh sebuah treler dalam satu kejadian di Lebuhraya ELITE arah Utara pada 18 Disember lalu.

“Semua pengendali lebuh raya mempunyai pasukan peronda dan penyelamat, jadi hubungilah mereka (bantuan kecemasan lebuh raya) untuk mendapatkan bantuan serta mengelakkan kehilangan nyawa. Jika tiada dalam simpanan telefon, nombor pengendali lebuh raya boleh diperoleh melalui carian Google. 

“Biasanya pasukan peronda lebuh raya akan tiba secepat mungkin dan menunda kenderaan yang rosak ke kawasan rehat berhampiran selain semua penumpang juga perlu keluar dari kenderaan dan berkumpul di luar penghadang jalan,” katanya dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur hari ini. 

Beliau menasihatkan pengguna lebuh raya agar mengambil iktibar daripada peristiwa kehilangan 10 nyawa di Lebuhraya Elite, pada 18 Disember lepas. 

Dalam kejadian berkaitan, seramai 10 individu maut dalam kemalangan membabitkan tiga kereta dan sebuah treler di kawasan Rehat & Rawat USJ Lebuhraya Elite menghala Shah Alam. 

Mangsa yang meninggal dunia membabitkan sembilan sekeluarga iaitu ibu serta lapan anaknya manakala mangsa ke-10 ialah seorang lelaki yang juga mekanik. Treler itu dipercayai merempuh tiga kereta yang berhenti di lorong kecemasan kerana satu daripada kenderaan itu mengalami kerosakan. 

Suret berkata kenderaan yang rosak juga perlu dipasangkan lampu kecemasan dan pemandu disarankan meletakkan ‘segitiga pantul cahaya’ atau kon keselamatan kira-kira 30 meter di belakang kenderaan selain menggunakan lampu suluh bagi tujuan tersebut. 

“Ini bagi membolehkan pemandu lain dapat melihat kenderaan rosak yang diletakkan di lorong kecemasan.

“Simpan  baju pantul cahaya untuk digunakan pada waktu malam jika berlaku kerosakan. Eloklah jika dapat menyimpan baju tersebut di dalam kenderaan untuk tujuan kecemasan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here