SEPANG: Kira-kira 380 bakal jemaah haji terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini sejak pagi tadi dipercayai menjadi mangsa penipuan sebuah agensi pelancongan.
Mereka yang berkumpul di Aras 5, Balai Pelepasan KLIA dipercayai menggunakan visa furada untuk menunaikan haji dan tidak melalui Lembaga Tabung Haji (TH).
Visa furada ialah visa yang diuruskan sendiri dan dilaporkan dikeluarkan oleh Arab Saudi, tanpa membabitkan jumlah kuota yang diperoleh TH.
Menurut seorang jemaah yang hanya mahu dikenali sebagai Adi, agensi pelancongan berkenaan meminta semua jemaah di bawah kendaliannya untuk datang ke KLIA hari ini kerana penerbangan dijangka berlepas pada jam 4.30 petang, namun kemudiannya dimaklumkan ditangguh ke jam 7 malam.
“Semakan kami mendapati penerbangan terakhir ke Jeddah, Arab Saudi adalah pada kira-kira jam 6 petang tadi dan sehingga saat ini kami tidak dimaklumkan apa-apa oleh wakil agensi pelancongan,” katanya.
Menurutnya, mengikut perancangan awal, mereka sepatutnya ke Jeddah pada Selasa lalu, namun ditangguhkan atas alasan ada dokumen yang masih tidak lengkap.
Beliau berkata, bakal jemaah juga tidak pernah ditunjukkan tiket penerbangan dan visa untuk menunaikan haji.
Seorang lagi jemaah yang dikenali sebagai Jamilah, 59, berkata beliau reda dengan apa yang berlaku kepada dirinya dan suami, sambil menyifatkan ia sebagai ujian daripada Allah.
“Sehingga ke saat ini kami masih tidak mendapat pasport kami lagi kerana ia masih dipegang oleh pihak agensi pelancongan,” katanya yang datang dari Terengganu dan membayar RM76,000 kepada agensi pelancongan untuk menunaikan haji bersama suaminya.
Jamilah berkata, kakitangan agensi pelancongan itu ada hadir bertemu dengan kumpulan terbabit namun mereka tidak mendapat penjelasan sebenar mengenai masalah itu.
“Kami tidak pernah ditunjukkan tiket kapal terbang dan visa tetapi kami meletakkan kepercayaan sepenuhnya kepada mereka namun tak sangka kami juga menjadi mangsa penipuan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah KLIA ACP Imran Abd Rahman ketika dihubungi berkata pihak polis masih merakamkan keterangan daripada pengendali agensi pelancongan tersebut. – BERNAMA