KUALA LUMPUR: Saman fitnah dikemukakan syarikat perkhidmatan pengubahsuaian dan dekorasi rumah terhadap personaliti televisyen, Awal Ashaari, akan diteruskan menerusi perbicaraan di mahkamah tinggi.
Peguam Sareekha Roslyna Mohd Rosly yang mewakili Naz Empire Sdn Bhd (Naz Empire) selaku plaintif berkata pada prosiding tahun lalu, kedua-dua pihak gagal mencapai persetujuan dengan terma penyelesaian selepas merujuk kes berkenaan kepada pengantara seperti dicadangkan mahkamah.
Susulan itu, beliau berkata, tarikh perbicaraan mungkin akan ditetapkan pada pengurusan kes seterusnya di hadapan Hakim Datuk Ahmad Bache melalui prosiding secara Zoom pada 4 Ogos ini.
“Kedua belah pihak sudah memfailkan dokumen berkaitan perbicaraan termasuk pernyataan saksi. Plaintif akan mengemukakan dua saksi termasuk Pengarah Naz Empire, Azrianna Alyssa Azmil, manakala Awal Ashaari akan memberikan keterangan selaku saksi tunggal defendan,” katanya.
Pada 13 November tahun lalu, Naz Empire memfailkan saman terhadap Awal dan dua lagi individu yang juga rakan kongsi perniagaan atas nama SomethingBorrowed By Nawal Enterprise iaitu Nawal Yasmin Mat Noh serta Muhammad Hilmi Zulkifli kerana didakwa memfitnah syarikat itu berhubung kerja pengubahsuaian di kediaman pelakon itu.
Bagaimanapun, mahkamah membatalkan saman terhadap Nawal Yasmin dan Muhammad Hilmi selepas Naz Empire memfailkan notis untuk tidak meneruskan saman terhadap mereka kerana ia diselesaikan di luar mahkamah.
Melalui writ saman dan pernyataan tuntutannya, Naz Empire berkata, Nawal Yasmin dan Muhammad Hilmi menjalankan perniagaan secara perkongsian atas nama SomethingBorrowed By Nawal Enterprise dan didakwa sering berkongsi siaran gambar atau video ubah suai atau dekorasi rumah dalam laman media sosial Instagram mereka @houseofsix.my.
Syarikat itu mendakwa kerja pengubahsuaian dimulakan selepas Awal membayar deposit RM100,000 menerusi dua transaksi pada Ogos 2019 dan sekitar 3 September 2019, yang mana defendan menyatakan beliau mahukan ‘sky roof’ dan tambahan tingkap di dapur rumah baharunya.
Menurut syarikat itu, ia menyebabkannya memberi sebut harga baharu kepada defendan pertama untuk kos pengubahsuaian sebanyak RM7,500.
Plaintif seterusnya berkata, Awal secara tiba-tiba menimbulkan pelbagai isu dan menyatakan rasa tidak puas hati terhadap hasil atau kualiti kerjanya dan memberhentikan syarikat terbabit serta meminta memulangkan semula wang deposit RM100,000.
Katanya, Awal memulakan siri fitnah secara berterusan terhadapnya dalam laman sosial Instagram dan Facebook serta memuat naik satu siaran fitnah melalui siaran YouTube di pautan dengan nama pentas ‘SchaAwal’.
Sementara itu, pada 22 Januari tahun lalu, Awal pula memfailkan tuntutan balas menuntut ganti rugi RM750,000 daripada Naz Empire berhubung kegagalan melaksanakan kerja pengubahsuaian di kediamannya.