KUALA LUMPUR – Legenda bola sepak negara dan bekas pemain Selangor, Khalid Ali mencadangkan supaya skuad Gergasi Merah melakukan perubahan besar membabitkan pemain dalam persiapan menghadapi saingan musim 2023.
Khalid yang kecewa dengan prestasi semasa bekas pasukannya, berpendapat perubahan perlu dilaksanakan kerana baginya sebahagian besar pemain tidak mencapai standard untuk menyarung jersi Selangor dan membantu pasukan mencabar kejuaraan Liga Super.
Katanya, kekalahan keempat berturut-turut dicatat Selangor selepas tewas 0-1 kepada Petaling Jaya (PJ) City FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) malam tadi, membuktikan tahap kualiti pemain yang dimiliki juara Piala Malaysia sebanyak 33 kali itu ketika ini.
“Sebagai bekas pemain, saya lihat kualiti kebanyakan mereka tidak sampai ke tahap Liga Super dan untuk menyarung jersi Selangor. Saya harap barisan pengurusan kena betul-betul cari pemain yang boleh jadikan Selangor pasukan yang boleh beri saingan musim depan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Khalid berkata dengan kedudukan kewangan pasukan yang baik, Selangor sepatutnya menumpukan usaha mendapatkan pemain yang sudah ‘siap’ sepenuhnya berbanding menandatangani pemain yang belum terbukti kemampuan.
Dengan lebih banyak slot ke saingan Liga Juara-Juara Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) menjadi rebutan bermula musim 2024, Khalid berkata, Selangor memerlukan pemain yang amat berkualiti sekiranya ingin mengejar impian beraksi di pentas tertinggi Asia.
“Barisan pengurusan kena mainkan peranan penting untuk dapatkan pemain berkualiti. Saya hampa dan kecewa sebab Presiden FAS (Persatuan Bolasepak Selangor) iaitu Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah sudah beri sepenuhnya kepercayaan kepada mereka.
“Jadi mereka (pengurusan) kena serius dengan apa yang telah diamanahkan,” katanya.
Berikutan prestasi buruk Selangor, mereka ketika ini menghuni tangga kesembilan Liga Super selepas hanya mengumpul 16 mata daripada 15 perlawanan, selain turut tersingkir di separuh akhir Piala FA di tangan TFC.
Selangor kini melalui kemarau kejuaraan enam tahun selepas kali terakhir menikmati kejayaan dengan menjuarai Piala Malaysia 2015.
Selangor juga masih gagal menamatkan penantian 13 tahun menjuarai Piala FA dan kali terakhir merangkul kejuaraan Liga Super adalah pada musim 2010. – BERNAMA