CALIFORNIA – Apple Inc (Apple) buat julung-julung kalinya akan mengeluarkan iPhone 14s di India yang dijangka siap selewat-lewatnya November depan.
Lapor Bloomberg News, keputusan itu dibuat selepas pertembungan pentadbiran China dengan Washington akibat sekatan pergerakan seluruh China yang mengganggu operasi pengeluarannya.
Laporan yang memetik sumber berkaitan dengan Apple memaklumkan, syarikat itu bekerjasama dengan beberapa pembekal di India untuk meningkatkan pengeluaran dan memendekkan tempoh pembuatan iPhone baharu yang biasanya dianggarkan enam hingga sembilan bulan, berdasarkan pelancaran model sebelumnya.
Menurut laporan itu, pembekal Apple yang berpangkalan di Taiwan, Foxconn mengkaji proses penghantaran barang dari China dan memasang iPhone 14 di kilangnya dekat Chennai, selatan India.
Pengeluaran iPhone 14s julung-julung kali dari India, dijangka siap pada akhir Oktober atau November.
Bagaimanapun, usaha REUTERS untuk mendapat komen lanjut Apple belum berhasil.
Syarikat itu memindahkan beberapa kawasan pengeluaran iPhone dari China ke pasaran lain, termasuk India, yang juga pasaran telefon pintar kedua terbesar di dunia.
Dalam pada itu, Apple turut merancang untuk melaksanakan proses pemasangan tablet iPad di negara itu.
Minggu lalu, Nikkei melaporkan pembekal gergasi teknologi itu sedang berbincang untuk menghasilkan Apple Watch dan MacBook di Vietnam. – REUTERS