SUNGAI PETANI – Seorang gadis sanggup mengambil sijil cuti sakit (MC) semata-mata mahu meraikan sambutan ambang merdeka bersama kekasih dicekup berkhalwat di sebuah bilik hotel di sini awal pagi tadi.
Pegawai Agama Daerah Kuala Muda, Mohd Noor Ismardi Ismail berkata, mereka ditangkap dalam serbuan kira-kira jam 2.30 pagi dilakukan oleh pasukan penguat kuasa dalam operasi di sekitar daerah itu.
Menurutnya, pasangan berusia 19 dan 23 tahun yang mengaku bakal bernikah pada 10 Oktober depan itu memberi alasan menempah bilik hotel kerana mengantuk untuk pulang ke rumah mereka di Kulim dan Serdang, Kedah.
“Gadis tersebut yang sepatutnya membuat kerja lebih masa (OT) telah mengambil MC, dijemput oleh kekasihnya di sebuah kilang di Batu Kawan, Pulau Pinang sebelum ditemui berdua-duaan di sebuah bilik hotel di bandar ini,” katanya.
Mereka antara lima pasangan yang ditahan di beberapa hotel bajet di daerah ini dalam operasi penguat kuasa PADKM, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda, Cawangan Penyiasatan Khas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Skuad Badar.
Mohd Noor Ismardi berkata, dalam operasi bermula jam 12 tengah malam hingga 5 pagi itu, pihaknya turut menahan seorang lelaki berusia 20 tahun yang bersembunyi di atas siling kerana takut ditangkap.
“Sebaik pintu bilik hotel itu dibuka, kita menemui seorang wanita berusia sekitar 20-an yang mendakwa menginap di hotel itu berseorangan. Namun selepas pemeriksaan lanjut, kita jumpa teman lelakinya bersembunyi di atas siling.
“Mereka gagal menunjukkan sebarang bukti hubungan suami isteri atau mahram sehingga menimbulkan syak mereka berkhalwat,” katanya.
Katanya, lima pasangan itu yang berusia antara 19 hingga 40 tahun kemudian dibawa ke balai polis berhampiran untuk diambil keterangan dan kes disiasat mengikut Seksyen 25 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Kedah (EKJSK) 2014.
“Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Mohd Noor Ismardi berkata, pihaknya akan terus melakukan pemantauan dan serbuan secara berterusan bagi mengekang kegiatan menyalahi syariat Islam, selain berharap ibu bapa mengawasi anak masing-masing dan mengambil tahu batas pergaulan mereka.