fbpx

Pelajar Malaysia, Alesyah tersenarai 10 finalis terbaik anugerah Chegg.org yang tawar hadiah AS$100,000

KUALA LUMPUR – Anak kelahiran Sabah, Alesyah Asa, 20, dinobatkan sebagai 10 finalis terbaik bagi Chegg.org Global Student Prize 2022, anugerah yang menawarkan hadiah AS$100,000 (RM448,000) dan diberikan kepada pelajar yang mampu membawa impak dalam pembelajaran, kehidupan rakan sebaya serta masyarakat.

Pelajar Diploma Teknologi Pembinaan, Kolej Vokasional Keningau itu satu-satunya pelajar Malaysia yang terpilih daripada lebih 7,000 pencalonan dan permohonan dari 150 negara dalam senarai finalis anugerah itu.

Dalam kenyataan hari ini, Chegg.Org memaklumkan, Alesyah mengetuai beberapa inisiatif sekolahnya yang memfokus kepada pelajar vokasional dan pelajar berkeperluan khas.

“Sebagai seorang daripada beberapa pelajar perempuan yang mendaftar dalam kursusnya dengan misi memberi inspirasi kepada wanita muncul cemerlang dalam bidang vokasional yang secara tradisinya didominasi lelaki, beliau mewakili jabatannya dalam beberapa pertandingan dan membimbing pelajar perempuan lain melakukan perkara sama.

“Alesyah mengetuai projek Sains, Teknologi, Kejuruteraan, Seni dan Matematik (STEAM) di sekolahnya yang melatih rakan sebaya dan guru mengenai robotik, dron, percetakan tiga dimensi (3D) dan keusahawanan. Projek itu menjadi penerima pertama Geran STEAM berjumlah AS$1,000 daripada Yayasan Awesomen yang berpusat di Amerika Syarikat (AS),” kata kenyataan itu.

Selain itu, Alesyah juga merintis program pertukaran antarabangsa dengan beberapa sekolah di Korea Selatan, mengetuai pasukan yang semuanya wanita sebagai Pemenang Inovasi Komuniti di Hackathon Belia Literasi Media dan Maklumat Global, anjuran bersama UNESCO dan Korea.

“Pasukannya membantu menangani salah maklumat berkaitan COVID-19 dengan mendidik orang ramai mengenai berita palsu dan penipuan menerusi satu set strategi yang membantu komuniti menyelidik, menganalisis dan menilai maklumat dengan lebih baik.

“Menerusi usahanya, Alesyah memperjuangkan peningkatan peluang pendidikan kepada golongan wanita, pelajar vokasional, pelajar luar bandar dan mereka yang kurang upaya,” katanya.

Kenyataan itu memaklumkan pemenang anugerah berkenaan dijangka diumumkan pada minggu Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York akhir bulan ini.

Chegg.org ialah cabang impak, advokasi dan penyelidikan yang menumpukan kepada usaha menangani isu dihadapi pelajar masa kini. – BERNAMA

Related Articles

Stay Connected

525FansLike
3,912FollowersFollow
0SubscribersSubscribe
- Advertisement -spot_img

Latest Articles