JEDDAH – Kementerian Pelancongan Arab Saudi menegaskan visa pelancong tidak membolehkan pemegangnya menunaikan haji atau umrah pada musim haji.
Beliau ketika mengumumkan pindaan terbaharu pada peraturan visa pelancong itu berkata, pelancong wajib mematuhi peraturan dan arahan keselamatan sepanjang berada di Arab Saudi termasuk sentiasa membawa dokumen pengenalan.
Pihak kementerian menjelaskan, pemegang taraf pemastautin GCC boleh memasuki Arab Saudi menggunakan visa e-pelancong, sekiranya tempoh pemastautin adalah sah bagi sekurang-kurangnya tiga bulan.
Individu memegang taraf pemastautin GCC bermakna sesiapa yang mempunyai kerakyatan negara GCC iaitu Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Bahrain, Oman, Qatar dan Kuwait.
Ini turut merangkumi anggota keluarga pemegang visa kelas pertama yang datang bersamanya selain pembantu rumah yang datang bersama penaja mereka.
Khamis lalu, Arab Saudi mengumumkan peraturan baharu yang membenarkan penduduk negara GCC memohon e-visa selain penduduk United Kingdom (UK), Amerika Syarikat (AS) Kesatuan Eropah (EU) memohon visa ketika ketibaan (VOA).
Menteri Pelancongan, Ahmed Al-Khateeb, menandatangani perintah menteri yang akan menjadikan Arab Saudi lebih mudah diakses berikutan permohonan visa dipermudahkan dan dipercepatkan.
Pemegang visa pelancongan dan perniagaan yang sah dari UK, AS atau mana-mana negara di bawah Perjanjian Schengen boleh mendapatkan VOA, sekiranya pemohon pernah melawat negara yang mengeluarkan visa itu sekurang-kurangnya sekali.
Sementara itu, Kementerian Haji dan Umrah menjelaskan bahawa tiada lapangan terbang khusus untuk ketibaan jemaah di Arab Saudi dan mereka boleh memasuki dan meninggalkan Arab Saudi menerusi mana-mana lapangan terbang antarabangsa atau domestik di negara itu.
Menurut kementerian itu lagi, tempoh maksimum untuk jemaah memiliki visa umrah tinggal di Arab Saudi ialah selama 90 hari dan mereka bebas bergerak antara Makkah, Madinah dan semua bandar lain di negara itu. – AGENSI