SHAH ALAM – Hujan lebat sejak beberapa hari lalu menyebabkan paras air 18 sungai di tujuh negeri melepasi paras amaran dan waspada.
Sungai Melaka, di Batu Hampar dan Sungai Duyong, Melaka Tengah di Melaka melebihi paras amaran apabila masing-masing mencatatkan bacaan 1.78 meter (m) dan 1.53m dengan trend menaik.
Menurut portal Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), paras air di pintu kawalan Sungai Melaka, Melaka Tengah pula merekodkan tahap waspada 1.13m dengan trend menurun.
Paras air pada tahap waspada turut dicatatkan di Sarawak, Pahang, Selangor, Kedah, Negeri Sembilan dan Johor.
Di Pahang, Sungai Kundang, Maran mencatatkan 19.66m, manakala Sungai Pahang, Lubuk Paku (17.24m) dan Sungai Pahang, Paloh Inai (9.53m) dengan trend menurun manakala Sungai Triang di Triang, melebihi tahap 33.5m dengan trend menaik.
Di Selangor, Sungai Bernam di Rimba KDR, Sabak Bernam mencatatkan paras air 1.93m melebihi tahap waspada 1.7m dengan trend menurun.
Di Kedah, Sungai Pendang di Pekan Pendang mencatatkan 2.33m melebihi paras waspada 2.2m, manakala di Intake Empangan Beris, Sik mencatatkan 84.1m dengan trend menaik.
Di Negeri Sembilan, Sungai Muar di Pekan Rompin, Jempol mencatatkan paras 31.72m melebihi tahap waspada 31m dengan trend menurun, di Sungai Serting di Serting Ulu (73.76m) dan Sungai Serting di Kampung Datok Johan pula mencatatkan 73.88m dengan trend menaik.
Paras air sungai di Johor juga melebihi tahap waspada dengan Sungai Muar di Panchor mencatatkan 1.66m dengan trend menaik dan Parit Keliling di Kampung Pasir, Johor Bahru (0.17m) dengan trend menaik.
Di Sarawak, kawasan Long Jegan merekodkan paras air 10.9m melebihi tahap waspada 10.5m dengan trend menurun, Long Teru (6.88m) dan Stapang B di Sibu (12.81m) dengan trend menaik.