BUKOBA: Sekurang-kurangnya 19 maut dalam insiden sebuah pesawat terhempas ke dalam Tasik Victoria ketika cuba mendarat di lapangan terbang Tanzania.
Perdana Menteri, Kassim Majaliwa berkata, pesawat komersial itu milik syarikat penerbangan Precision Air membawa berpuluh-puluh penumpang.
“Semua warga Tanzania bersama berkabung atas kehilangan 19 nyawa dalam kemalangan ini,” kata Majaliwa kepada orang ramai selepas tiba di lapangan terbang Bukoba.
Sebelum ini, Precision Air memaklumkan, sekurang-kurangnya 26 mangsa berjaya diselamatkan.
Menurut syarikat penerbangan itu, pesawat PW494 berkenaan membawa seramai 39 penumpang meliputi seorang bayi, serta empat kru termasuk juruterbang.
Punca kejadian belum dikenal pasti, namun badan penyiaran Tanzania Broadcasting Corporation (TBC) melaporkan insiden berlaku ketika ribut dan hujan lebat.
Seorang saksi memberitahu TBC, pesawat itu dilihat terbang dalam keadaan tidak stabil dalam cuaca buruk ketika menghampiri lapangan terbang berkenaan, sebelum terhempas ke dalam tasik. – AGENSI