fbpx

Dua beranak maut nahas dua kenderaan

SUNGAI BULOH – Dua beranak maut dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer 451.9 Lebuhraya Utara Selatan, dekat sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian jam 2 pagi itu, mangsa, Mat Zaki Mahmud, 48, dan anak perempuannya, Mya Zaratul Nuraishah, 13, disahkan meninggal dunia di lokasi.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Shafa’aton Abu Bakar, berkata pihaknya menerima maklumat kejadian itu, kira-kira jam 3.20 pagi tadi.

“Siasatan awal dilakukan mendapati dua kereta, iaitu Proton Wira dan Toyota Vios dalam perjalanan dari arah utara menghala ke selatan.

“Sebaik tiba di lokasi berkenaan, kereta Proton Wira dipandu seorang lelaki berusia 38 tahun bersama lima penumpang termasuk Mat Zaki serta tiga anaknya dikatakan hilang kawalan lalu melanggar pembahagi jalan di sebelah kanan.

“Kereta Toyota Vios dipandu seorang lelaki berusia 49 tahun bersama dua penumpang lain yang datang dari arah belakang kemudian tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian kanan hadapan Proton Wira berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Shafa’aton berkata, kemalangan itu menyebabkan Mat Zaki dan anak perempuannya, Mya Zaratul Nuraishah, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan Hospital Sungai Buloh.

“Empat lagi mangsa menaiki Proton Wira berkenaan berusia antara sembilan hingga 38 tahun dilaporkan cedera dan sedang menerima rawatan di Unit Kecemasan Hospital Sungai Buloh.

“Pemandu kereta Toyota Vios pula cedera ringan dan menerima rawatan di unit kecemasan hospital sama, manakala dua penumpang kereta itu masing-masing berusia 15 dan 46 tahun dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Pengangkutan (APJ) 1987.

“Orang ramai mempunyai maklumat berhubung kejadian itu boleh menghubungi pegawai penyiasat trafik, Inspektor Muhammad Fahmi Shamsuddin di talian 014-3667353 bagi membantu siasatan,” katanya. – BH Online

Related Articles

Stay Connected

525FansLike
3,912FollowersFollow
0SubscribersSubscribe
- Advertisement -spot_img

Latest Articles