KAILUA-KONA – Kebiasaannya letupan gunung berapi mencetuskan panik kepada orang ramai, namun gunung berapi terbesar di dunia, Mauna Loa, di Hawaii, mampu menarik kehadiran ribuan pengunjung.
Letupan mengalirkan lahar yang bercahaya seakan warna keemasan dan membentuk aliran unik menarik perhatian terutamanya pengguna lebuh raya berdekatan kawasan itu.
Kali terakhir Mauna Loa meletus adalah pada 1984 dan kembali aktif Ahad lalu selepas kira-kira 38 tahun lalu, bermula dengan melepaskan abu gunung berapi dan bendasing ke udara dan seterusnya mendap ke bumi.
Lebuh raya utama yang menghubungkan bandar-bandar di pantai timur dan barat Big Island menjadi tempat tontonan ramai dengan beribu-ribu kereta menghalang lebuh raya berhampiran Taman Negara Volcanoes.
Orang ramai tidak melepaskan peluang untuk mengabdikan kenangan sama ada mengambil foto atau video berlatarbelakangkan aliran lahar itu.
Lahar itu perlahan-lahan menuruni cerun dan berada kira-kira 10 kilometer (km) dari lebuh raya yang dikenali sebagai Jalan Saddle.
Saintis yang bertanggungjawab di Balai Cerap Gunung Berapi Hawaii, Ken Hon, berkata berdasarkan kadar aliran semasa, paling cepat lahar itu sampai ke jalan raya ialah dua hari, tetapi ia mungkin mengambil masa lebih lama.
“Apabila aliran lahar merebak, ia mungkin akan mengganggu kemajuannya sendiri dan bergerak lebih perlahan selain kelambatan akibat proses penyejukan,” katanya.
Selain itu, gunung berapi lebih kecil, Kilauea, yang meletus sejak September 2021, turut menjadi tarikan pengunjung taman negara dengan pemandangan jarang berlaku di mana dua gunung berapi meletus serentak iaitu cahaya dari tasik lahar Kilauea dan aliran lahar dari rekahan Mauna Loa.
Pegawai pada mulanya bimbang lahar Mauna Loa yang mengalir akan menuju ke arah komuniti Kona Selatan, tetapi saintis memberi jaminan bahawa letusan itu sudah beralih ke zon keretakan di sayap timur laut gunung berapi dan tidak mengancam masyarakat.
Sementara itu, bau gas gunung berapi dan sulfur pekat dapat dihidu di sepanjang Saddle Road.
Gabenor David Ige mengeluarkan amaran kecemasan untuk membolehkan pasukan penyelamat dan pihak berkuasa berkenaan tiba dengan cepat selain mengehadkan akses ke gunung berapi terbabit mengikut keperluan. – AP