ENGLAND mengesahkan slot ke suku akhir apabila menyingkirkan Senegal 3-0 manakala Perancis turut menepati ramalan dengan menewaskan Poland 3-1 pada aksi 16 terbaik Piala Dunia 2022.
Pada aksi di Stadium Al Bayt pagi tadi, gol pembukaan The Three Lions disumbangkan Jordan Henderson pada minit ke-38.
Bintang Liverpool itu berada dalam buku sejarah bola sepak England apabila muncul pemain kedua tertua yang menjaringkan gol buat The Three Lions di Piala Dunia pada usia 32 tahun 170 hari.
Berpunca daripada serangan balas pada masa kecederaan babak pertama, England makin selesa dengan kelebihan dua gol dan kali ini giliran Harry Kane merobek gawang Senegal.
England semakin selesa selepas memperoleh gol ketiga menerusi Bukayo Saka pada minit ke-57.
Sebelum ini, England layak ke suku akhir dalam dua edisi berturut-turut selepas kali terakhir melakukannya pada Piala Dunia 2002 dan 2006.
Malah kemenangan kali ini juga mengekalkan rekod bersih England untuk memastikan kemenangan ke-15 The Three Lions dalam semua pertandingan ketika menentang wakil dari Afrika.
Sementara itu, juara bertahan, Perancis mudah melangkah ke suku akhir susulan kemenangan 3-1 ke atas Poland di Stadium Al Thumama malam tadi.
Dalam aksi itu, Olivier Giroud membuka tirai jaringan buat Perancis pada minit ke-44 sebelum Kylian Mbappe meledak dua gol bermula minit ke-44 dan 91.
Gol tunggal Poland pula berjaya dijaringkan oleh Robert Lewandowski menerusi sepakan penalti pada penghujung perlawanan.
Giroud mencuri tumpuan apabila menempa sejarah baharu bola sepak Perancis sebagai penjaring terbanyak sepanjang zaman buat pasukan itu dengan 52 gol mengatasi Thierry Henry (51 gol).
Di peringkat suku akhir awal pagi Ahad ini, pasti menjanjikan pertembungan sengit apabila anak buah Gareth Southgate dijadualkan menentang Perancis di Stadium Al Bayt.