fbpx

Jepun lancar kapal angkasa ke bulan

WASHINGTON – Sebuah kapal angkasa pemula Jepun dilancarkan ke bulan dalam misi lunar pertama negara itu hari ini.

Pelancaran itu dilakukan oleh SpaceX milik Elon Musk di Cape Canaveral di Florida Amerika Syarikat (AS) selepas dua penangguhan untuk pemeriksaan prapenerbangan tambahan.

Pelancaran itu merupakan pertama seumpamanya oleh sebuah syarikat swasta.

Kapal angkasa yang dihasilkan oleh syarikat pemula ispace yang berpangkalan di Tokyo, berlepas di atas roket Falcon 9 kira-kira jam 2:38 pagi (waktu tempatan), seperti ditunjukkan rakaman secara langsung pelancaran.

“Misi pertama kami akan meletakkan asas untuk menyerlahkan potensi bulan dan mengubahnya menjadi sistem ekonomi yang teguh dan bertenaga, kata Ketua Pegawai Eksekutif kapal angkasa pemula, Takeshi Hakamada dalam kenyataan.

Sehingga kini, AS, Russia dan China berjaya meletakkan robot pada permukaan bulan.

Misi ispace ialah program pertama yang dipanggil Hakuto-R, yang bermaksud ‘arnab putih’ dalam bahasa Jepun.

Syarikat itu berkata, pendarat bulannya dijangka mendarat di bahagian bulan yang kelihatan pada April 2023, tahun Arnab di Jepun.

Ia berukuran lebih dua kali 2.5 meter, dengan kapal angkasa itu mempunyai muatan yang termasuk rover 10 kilogram yang dibina oleh Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Negara Teluk itu adalah pendatang baru dalam perlumbaan angkasa tetapi pada tahun lalu, menghantar kapal angkasa tanpa pemandu ke orbit Marikh.

Jika kapal angkasa (rover) dinamakan Rashid, berjaya mendarat, ia akan menjadi misi bulan pertama Arab peringkat dunia.

Hakuto adalah salah satu daripada lima finalis dalam pertandingan Lunar XPrize Google untuk mendaratkan ‘rover’ di bulan sebelum tarikh akhir 2018, yang berakhir tanpa pemenang.

Pendarat bulan ispace juga membawa dua robot yang dihasilkan oleh agensi angkasa Jepun dan cakera dengan lagu ‘SORATO’ oleh kumpulan rock Jepun Sakanaction, yang pada asalnya ditulis untuk menyokong persaingan Google.

Pertubuhan Israel SpaceIL, satu lagi finalis dalam pertandingan itu, gagal pada April 2019 untuk menjadi misi pertama yang dibiayai persendirian mendarat di bulan, selepas satelitnya (lander) terhempas ke permukaan ketika cuba mendarat.

ispace yang hanya mempunyai 200 kakitangan, berkata ia bertujuan untuk memperluaskan sfera kehidupan manusia ke angkasa lepas dan mencipta dunia yang mampan dengan menyediakan perkhidmatan pengangkutan kos rendah frekuensi tinggi ke bulan. – AFP

Related Articles

Stay Connected

525FansLike
3,912FollowersFollow
0SubscribersSubscribe
- Advertisement -spot_img

Latest Articles