JURULATIH Maghribi, Walid Regragui menyatakan pasukannya telah memberikan aksi semaksimum mungkin selepas tewas 2-0 ketika menentang Perancis awal pagi tadi.
“Kami memberikan semaksimum mungkin, itu yang paling penting,” kata Regragui.
“Kami ada sedikit kecederaan, kami kehilangan Aguerd ketika memanaskan badan, Saiss, Mazraoui… tapi itu bukan alasan,” katanya.
Regragui mengakui pasukannya terpaksa membayar harga yang tinggi hasil sedikit kesilapan.
“Kami tidak memulakan perlawanan dengan bagus, kami banyak mensia-siakan aspek teknikal pada babak pertama, dan gol kedua itu membunuh kami, tapi itu tidak menghapuskan semua yang kami lakukan sebelum ini,” katanya.
Selepas menjadi pasukan Afrika pertama mara ke separuh akhir, Maghribi kini akan berdepan Croatia pada penentuan tempat ketiga Sabtu ini.
Kedudukan ranking 22 dunia tidak menghalang Maghribi untuk memegang 62 peratus penguasaan permainan dengan melakukan 13 percubaan ke arah gawang Perancis sepanjang tempoh 90 minit.
Dalam aksi tersebut, gol-gol Les Bleus ke atas Singa Atlas hasil jaringan Theo Hernandez pada minit ke-5 dan Randal Kolo Muani pada minit ke-79.
Skuad bimbingan Didier Deschamps itu akan berdepan satu lagi pasukan pilihan, Argentina dalam perlawanan akhir yang dijadualkan berlangsung di Stadium Lusail pada Ahad ini.
Sementara itu, Kylian Mbappe memperagakan semangat kesukanan yang tinggi kepada Achraf Hakimi.
Maghribi termasuk Hakimi jelas kecewa selepas wisel penamat namun Mbappe yang juga rakan sepasukannya di Paris Saint Germain (PSG) menenangkannya, menukar jersi dan memeluk pemain berusia 24 tahun itu di atas padang.
Bintang itu kemudiannya menyarung jersi milik Hakimi sebelum menuju ke arah rakan sepasukan dan meraikan kejayaan Perancis bersama penyokong mereka.