MEXICO – Seorang terbunuh, 57 cedera selepas dua kereta api bawah tanah bertembung di bandar raya di sini.
Datuk Bandar, Claudia Sheinbaum menerusi Twitter memaklumkan, nahas itu berlaku di Laluan 3 sistem Metro itu, namun tidak memperincikan punca pertembungan dalam kemalangan yang berlaku antara stesen Potrero dan La Raza.
Katanya, seorang wanita terbunuh dan 57 individu lagi cedera dan semua mangsa sudah dibawa ke tujuh hospital bagi mendapatkan rawatan susulan.
“Empat individu masih terperangkap dalam kereta api termasuk pemandu satu daripada kereta api terbabit dan laporan yang diterima difahamkan mangsa mengalami kecederaan serius.
“Puluhan anggota polis dan tentera dikerahkan ke stesen kereta api berhampiran, manakala ambulans dan pasukan penyelamat tiba ke lokasi kejadian bagi merawat individu yang cedera,” katanya.
Penumpang satu daripada kereta api malang itu, Edgar Montiel, mengaku berasa bertuah kerana pada saat akhir memilih untuk masuk dalam gerabak kedua akhir berbanding gerabak paling belakang, yang rosak teruk akibat nahas itu.
“Bunyi pelanggaran sangat kuat. Saya hanya menutup mata apabila terasa badan gerabak mula membengkok dan menyebabkan saya terpelanting,” katanya.
Juruelektrik itu terbaring di atas lantai kereta api selepas pelanggaran bersama beberapa penumpang lain, ketika mendengar jeritan dan tangisan meminta bantuan.
“Lampu terpadam dan asap mula berkepul-kepul keluar dan menyukarkan kami bernafas,” katanya yang cedera di tangan dan kaki kiri, dan memaklumkan perlu menunggu kira-kira 30 minit sebelum diselamatkan. – AP