TOKYO – Jepun berdepan masalah kadar obesiti dalam kalangan murid sekolah rendah dan pelajar sekolah menengah rendah yang mencatat paras tertinggi berikutan pelajar meluangkan lebih banyak masa menonton video, menurut kajian Agensi Sukan Jepun.
Sebelum itu, Jepun menjalankan ujian kecergasan fizikal dan kemahiran motor 2022 pada April sehingga Julai tahun lepas.
Ia melibatkan sekitar 1.9 juta pelajar sekolah rendah gred lima dan pelajar tingkatan dua sekolah menengah rendah di semua institusi pendidikan kebangsaan termasuk swasta di Jepun.
Hasil ujian mendapati jumlah mata yang diperoleh dalam lapan acara sukan termasuk lari 50 meter (m) dan lompat jauh, adalah paling rendah untuk pelajar sekolah rendah serta menengah sejak ia mula dilaksanakan pada tahun persekolahan 2008.
Ujian itu juga mengkaji perubahan dalam gaya hidup menerusi kaji selidik ke atas para pelajar berkenaan.
Peratusan kanak-kanak yang menghabiskan masa empat jam atau lebih sehari dengan menonton televisyen atau menggunakan telefon pintar untuk tujuan selain daripada belajar ialah 27.1 peratus dalam kalangan murid lelaki gred lima dan 22 peratus untuk murid perempuan gred sama.
Kadar peratusan untuk pelajar tingkatan dua ialah 28.3 peratus untuk lelaki dan 26.1 peratus adalah perempuan.
Keputusan itu mencatatkan peningkatan mendadak berbanding tahun sebelumnya.
Selain itu, bilangan kanak-kanak yang makan sarapan pagi dan tidur selama lapan jam a didapati semakin berkurangan.
Agensi itu menganggap bahawa kemerosotan dalam kecergasan fizikal kanak-kanak adalah disebabkan oleh perubahan gaya hidup selain pandemik Covid-19 menjadi pendorong kepada trend tersebut. – Agensi