SUNGAI BULOH – Polis mengesahkan mayat dikerat enam yang ditemui dalam bagasi di tepi Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), semalam bukan warganegara Malaysia.
Mangsa dipercayai maut akibat hentakan benda tajam dan tumpul.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Shafa’aton Abu Bakar, berkata pihaknya telah merakam percakapan seorang individu bagi membantu siasatan berkenaan.
“Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti identiti sebenar mangsa dan mengesan saksi yang boleh membantu siasatan,” katanya hari ini.
Menurutnya lagi, mangsa merupakan lelaki dan bukan beragama Islam.
Kosmopolitan semalam melaporkan penemuan mayat berkenaan di Kilometer 447, Lebuhraya PLUS arah utara, berhampiran persimpangan Rawang Selatan.
Sebahagian keratan tubuh mangsa disumbatkan dalam beg bagasi, manakala separuh bahagian badan iaitu dari pinggang ke atas dan tanpa kepala, ditemui di tepi jalan.