KLIA kedua tersibuk di Asia Tenggara

PUTRAJAYA – Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang mencatatkan pencapaian hebat apabila 382 penerbangan sehari sekali gus muncul sebagai terminal udara kedua tersibuk di Asia Tenggara.

KLIA di belakang Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Jakarta, Indonesia dengan 502 penerbangan setiap hari.

Laporan itu disiarkan menerusi laman sesawang FlightsFrom.com terbitan firma statistik penerbangan antarabangsa ternama, Westcoast Digital berpusat di Sweden.

KLIA didapati memiliki kelebihan tujuh penerbangan sehari daripada Bangkok, manakala Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino di Manila, Filipina pula di posisi keempat.

Dalam pada itu, Lapangan Terbang Antarabangsa Changi, Singapura cuma di tempat keenam di belakang Lapangan Terbang Antarabangsa Tan Son Nhat di Ho Chi Minh City, Vietnam.

Jika di peringkat Asia pula, KLIA yang turut merangkumi terminal klia2, berada di tangga ke-16 manakala juara benua ini diraih Lapangan Terbang Antarabangsa Baiyun di China.

Terminal di Guangzhou, ibu kota wilayah Guangdong itu mengendalikan 650 penerbangan setiap hari diikuti oleh Lapangan Terbang Antarabangsa Indira Gandhi di New Delhi, India.

Tempat ketiga pula dipegang oleh Lapangan Terbang Antarabangsa Haneda, Tokyo, Jepun disusuli Istanbul, Turkiye; Pudong, Shanghai, China dan Dubai, Emiriah Arab Bersatu.

Sekiranya dilihat rekod perbandingan di peringkat dunia pula, KLIA berada di posisi ke-40 di belakang Lapangan Terbang Antarabangsa Pearson, Toronto, Kanada di tempat ke-39.

Empat buah terminal udara di Amerika Syarikat menduduki kedudukan teratas carta global dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Hartsfield-Jackson, Atlanta di tangga pertama.

Ia direkodkan mengendalikan sejumlah 902 penerbangan setiap hari diikuti O’hare Chicago, Illinois; Fort Worth Dallas, Texas dan Denver, Colorado manakala kelima ialah Baiyun.

FlightsFrom.com menjelaskan bahawa jumlah penerbangan yang dikira itu hanya meliputi penerbangan berjadual dan tidak membabitkan sewa khas atau pengangkutan barang.

Data yang dihitung itu melibatkan sejumlah 84,553 penerbangan setiap hari di seluruh dunia dengan paling banyak direkodkan ialah sekitar Asia iaitu 34,395 penerbangan sehari.

Related Articles

[td_block_social_counter facebook="mykosmopolitan" twitter="tagdivofficial" youtube="tagdiv" style="style8 td-social-boxed td-social-font-icons" tdc_css="eyJhbGwiOnsibWFyZ2luLWJvdHRvbSI6IjM4IiwiZGlzcGxheSI6IiJ9LCJwb3J0cmFpdCI6eyJtYXJnaW4tYm90dG9tIjoiMzAiLCJkaXNwbGF5IjoiIn0sInBvcnRyYWl0X21heF93aWR0aCI6MTAxOCwicG9ydHJhaXRfbWluX3dpZHRoIjo3Njh9" custom_title="Stay Connected" block_template_id="td_block_template_8" f_header_font_family="712" f_header_font_transform="uppercase" f_header_font_weight="500" f_header_font_size="17" border_color="#dd3333" open_in_new_window="y" manual_count_facebook="525"]
- Advertisement -spot_img

Latest Articles