KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap mana-mana pihak yang didapati mempersenda kaum atau agama.
Kenyataan tegas KPM itu susulan satu video sidang media tular di Facebook, Rabu lalu berkaitan dakwaan guru meminta murid menukar agama.
Justeru KPM hari ini berkata, siasatan sedang dijalankan dan pada masa sama, KPM juga akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis sekiranya ada laporan dibuat mengenai isu berkenaan.
“KPM telah mendapatkan maklum balas awal daripada pihak Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPWPKL) berhubung kenyataan video tular berkenaan.
“Siasatan awal telah dijalankan segera bagi mendapatkan kesahihan maklumat,” katanya.