ANKARA – Seorang bayi berusia tujuh bulan, Hamza, diselamatkan di Hatay lebih 140 jam selepas gempa berlaku, selain Esma Sultan, 13, turut ditemui masih bernyawa di Gaziantep.
Turut diselamatkan seorang mangsa berusia 70 tahun, Menekse Tabak, yang ditarik keluar dari runtuhan konkrit di Kahramanmaras.
Itu antara beberapa keajaiban yang berlaku melibatkan mangsa-mangsa yang terselamat yang ditemui di sebalik sisa runtuhan dan kemusnahan.
Begitupun, angka kematian akibat gempa bumi kuat di Turkiye dan Syria dijangka meningkat melebihi 50,000, menurut Ketua Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Martin Griffiths.
Griffiths tiba di bandar selatan Turkiye, Kahramanmaras, kelmarin, yang menjadi lokasi pusat gempa bagi gegaran pertama yang berukuran 7.8 pada skala Richter, pada Isnin minggu lalu.
“Kami masih belum benar-benar memulakan pengiraan angka kematian,” kata Griffiths dalam temu bual bersama stesen penyiaran Sky News.
PBB memberi amaran bahawa sekurang-kurangnya 870,000 orang kini memerlukan bantuan makanan segar di seluruh Turkiye dan Syria. Di Syria sahaja, 5.3 juta orang dijangka telah kehilangan tempat tinggal.
Selain itu, hampir 26 juta orang terjejas dengan gempa bumi tersebut, demikian menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang turut melancarkan tabung derma kilat berjumlah AS$42.8 juta (RM185 juta) kelmarin bagi memenuhi keperluan kesihatan.
Agensi bencana Turkiye pula berkata, lebih 32,000 orang dari organisasi negara itu kini bekerja keras dalam operasi mencari dan menyelamat di samping 8,294 penyelamat antarabangsa.
“Tidak lama lagi, anggota penyelamat akan memberi laluan kepada agensi-agensi kemanusiaan yang mana tugas mereka adalah untuk menguruskan angka luar biasa mangsa yang terjejas dalam beberapa bulan akan datang,” kata Griffiths.
Puluhan ribu anggota penyelamat menjelajah ke segenap kawasan kejiranan yang menjadi rata ketika cuaca sejuk menambah kesengsaraan berjuta-juta mangsa yang kini terdesak memerlukan bantuan.
Restoran-restoran di Gaziantep turut sibuk dengan puluhan ribu sukarelawan yang membantu menyediakan makanan kepada semua mangsa.
Dalam pada itu, bantuan dilaporkan tiba agak perlahan di Syria di mana konflik bertahun-tahun telah memusnahkan sistem penjagaan kesihatan selain sebahagian negara itu kekal di bawah kawalan kumpulan pemberontak.
Menurut Damsyik, ia telah meluluskan ketibaan bantuan kemanusiaan di kawasan-kawasan terjejas di luar kawalannya di wilayah Idlib dan sebuah konvoi dijangka sepatutnya bertolak semalam.
Namun, penghantaran bantuan itu ditunda tanpa sebarang penjelasan. – AFP