KJ jadi DJ, ramai teruja, terhibur

HARI ini, seawal jam 6 pagi, bermulalah fasa baharu dalam kehidupan bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin yang secara rasmi menjalankan tugas sebagai penyampai di stesen radio Hot FM, mengendalikan segmen Bekpes Hot bersama Johan dan AG.

Jika sebelum ini, kehadiran Khairy atau mesra disapa KJ ke konti radio sebagai tetamu jemputan, hari ini suara Khairy berkumandang di Hot FM yang terkenal dengan tagline, ‘Yang Hangat dan Terbaik’ itu.

Sebelum ini, berita pengesahan Khairy bakal menyertai ‘keluarga’ Hot FM tular dan pantas menjadi topik hangat dalam laman sembang.

Menyifatkan tawaran menjadi penyampai radio sebagai amat bermakna, Khairy mengakui amat teruja kerana dapat menggunakan platform itu untuk berkongsi ilmu dengan pendengar.

“Selain menjadi stesen radio terbaik di Malaysia, saya terima tawaran kerana mahu berkongsi maklumat dengan pendengar.

“Seperti yang dipersetujui, saya akan membincangkan isu semasa dan topik hangat terutama dalam kalangan anak muda.

“Topik begini jarang dibincangkan dalam segmen pagi. Antara topik yang akan kita bincangkan adalah berkaitan kesejahteraan rakyat, pendidikan, kesihatan dan pelbagai isu menarik yang sesuai.

“Kita juga akan sentuh topik yang cukup dekat dengan golongan muda dan jarang dibangkitkan di radio seperti kesihatan mental dan isu hutang dalam kalangan anak muda.

“Walaupun kedengaran serius, saya akan cuba sampaikan maklumat dengan cara yang lebih santai serta mudah difahami,” katanya.

Pada sesi pertama hari ini, Khairy dijadual mengendalikan Bekpes Hot bersama Johan dan AG tanpa Fara Fauzana yang sedang bercuti.

Sebagai penyampai radio baharu, Khairy mengakui masih mencari rentak sesuai untuk memastikan corak penyampaiannya senada dengan ‘deejay’ lain.

“Setakat ini, kami sudah jumpa keserasian itu. Macam dengan Johan, saya sudah kenal lama dan boleh terima lawak jenakanya.

“Namun, saya masih lagi mencari rentak sesuai. Insya-Allah dalam beberapa minggu akan datang, keserasian dan persefahaman antara kami akan menjadi lebih baik.

“Setakat ini, saya tidak rasa gemuruh sangat. Mungkin sebab pengalaman sebagai menteri banyak membantu kerana kedua-dua kerjaya ini mempunyai kemahiran asas yang sama iaitu bercakap,” katanya.

Khairy berkata, keluarga menerima keputusan dirinya menjadi penyampai radio, apatah lagi ketika ini beliau sedang berjinak-jinak dengan ‘podcast’.

“Anak saya pada mulanya menyangka saya mahu jadi ‘rapper’ apabila dapat tahu saya hendak jadi ‘deejay’ di Hot FM,” katanya.

Mengenai jumlah bayaran yang diterima atas khidmatnya itu, Khairy lebih selesa mengunci mulut mengenainya.

“Rahsia,” katanya sambil ketawa.

Khamis lalu, Media Prima Audio (MPA) mengesahkan Khairy akan bertugas sebagai penyampai di stesen radio Hot FM, mulai hari ini.

Perkara itu turut disahkan Khairy dalam temuramah melalui telefon pada segmen Bekpes Hot yang dikendalikan Johan, AG dan Datuk AC Mizal.

Kenyataan MPA menyebut, minggu lalu tawaran Hot FM kepada Khairy dibuat menerusi surat terbuka di Instagram @hotfm976 membabitkan jawatan sebagai penyampai radio yang akan bertugas setiap Isnin hingga Jumaat, jam 6 pagi hingga 10 pagi.

MPA menambah, selaras dengan slogan stesen radio itu, kehadiran Khairy bersama tonggak utama Bekpes Hot pasti memberi suntikan baharu buat Hot FM dan warna yang lebih menarik untuk segmen terbabit. – BH Online

Related Articles

[td_block_social_counter facebook="mykosmopolitan" twitter="tagdivofficial" youtube="tagdiv" style="style8 td-social-boxed td-social-font-icons" tdc_css="eyJhbGwiOnsibWFyZ2luLWJvdHRvbSI6IjM4IiwiZGlzcGxheSI6IiJ9LCJwb3J0cmFpdCI6eyJtYXJnaW4tYm90dG9tIjoiMzAiLCJkaXNwbGF5IjoiIn0sInBvcnRyYWl0X21heF93aWR0aCI6MTAxOCwicG9ydHJhaXRfbWluX3dpZHRoIjo3Njh9" custom_title="Stay Connected" block_template_id="td_block_template_8" f_header_font_family="712" f_header_font_transform="uppercase" f_header_font_weight="500" f_header_font_size="17" border_color="#dd3333" open_in_new_window="y" manual_count_facebook="525"]
- Advertisement -spot_img

Latest Articles