KUALA LUMPUR – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap bahaya sehingga Khamis ini membabitkan Pekan dan Rompin di Pahang dan Johor.
Negeri Sembilan, Melaka serta beberapa kawasan di Pahang termasuk Jerantut, Maran, Kuantan dan Bera pula dijangka mengalami hujan lebat berterusan tahap buruk.
Hujan berterusan tahap waspada dijangka di Perak (Manjung, Kinta, Perak Tengah, Kampar, Bagan Datuk, Hilir Perak, Batang Padang dan Muallim) dan Terengganu.
Selain itu, Pahang (Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Raub, Bentong dan Temerloh), Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Putrajaya, dan Sarawak yang membabitkan kawasan Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu, Mukah dan Bintulu (Tatau dan Bintulu).
Amaran hujan berterusan tahap waspada ini berkuat kuasa sehingga esok.
MetMalaysia memaklumkan amaran hujan berterusan tahap bahaya dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan hujan lebat berterusan dijangka berlaku dengan jumlah hujan melebihi 150 milimeter (mm) dalam tempoh 24 jam.
Amaran hujan berterusan tahap buruk dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda yang menunjukkan hujan lebat berterusan dijangka berlaku dengan jumlah hujan melebihi 60 mm dalam tempoh enam jam.
Amaran hujan berterusan tahap waspada dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda yang menunjukkan hujan atau ribut petir sedang atau dijangka berlaku melebihi enam jam dalam tempoh itu di sesuatu kawasan.