Shah Alam: Farid Kamil, 42, mendedahkan keretakan rumah tangga bersama isterinya, Diana Danielle, 32, berpunca daripada kehadiran orang ketiga.
Farid ketika ditemui di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, di sini, berkata, dia mula menghidu mengenai kecurangan yang berlaku sejak tahun lalu.
“Alhamdulillah saya bersyukur kerana Allah sudah memberi petunjuk dan hidayah. Saya juga sudah cuba sedaya upaya memujuk Diana atas kesalahan yang tak munasabah tapi hari ini saya dapati ada pihak ketiga yang menyokong dia dari belakang.
“Saya kalau boleh nak tegakkan undang-undang Islam dan hak sebagai seorang suami, yang mana rumah tangga diganggu. Saya rasa sangat tidak adil sebagai seorang suami. Dan bila kita menuntut jawapan daripada dia mengenai perkara itu, perpisahan yang diminta.
“Saya sayangkan keluarga saya, saya tidak pernah lagi diuji sebegini. Saya baru mengesahkan mengenai hal ini hari ini tapi saya sudah maklum dari tahun lalu. Ia bukan masalah berlarutan cuma masalah ‘terkantoi’ baru-baru ini,” katanya.
Farid dan Diana hadir ke mahkamah di sini bagi memaklumkan kepada mahkamah mengenai pelantikan wakil dalam Jawatankuasa Pendamai (JKP) bagi menyelesaikan konflik rumah tangga mereka, selepas Farid enggan melafazkan cerai terhadap Diana.
Menurut Farid, dia sudah 23 hari tidak bertemu kedua anaknya, Muhammad dan Nur Aurora dan akan cuba sedaya upaya menyelamatkan perkahwinan mereka demi anak-anak.
“Saya harus menyelamatkan isteri dari terus diperlakukan sebegitu. Saya sayangkan anak-anak kerana tanpa isteri saya, saya tak dapat jumpa anak-anak saya.
“Saya tidak dibenarkan jumpa anak selama 23 hari dan telefon pun tidak dibenarkan. Jadi, hari ini saya cuba menyelamatkan keluarga saya walaupun saya tahu itu kesalahan orang luar,” katanya.
Ditanya adakah dia akan memfailkan nusyuz terhadap Diana, Farid menegaskan dia menyerahkan perkara itu kepada pihak mahkamah.
“Mahkamah akan putuskan hal terbabit. Saya berserah kepada Allah kerana benda ini membabitkan hukum hakam Islam dan saya tak boleh buat keputusan sendiri,” katanya.
Terdahulu, Farid tiba di mahkamah di sini kira-kira jam 9 pagi membawa jambangan bunga mawar untuk Diana. Malah Farid turut membawa sebentuk cincin sebagai hadiah ulang tahun perkahwinan mereka yang ke-11.
Sementara itu, Diana hadir lebih awal pada 8.55 pagi memakai baju hitam bersama pengawal peribadi.
Kira-kira lebih 30 pengamal media daripada pelbagai agensi berkumpul di pekarangan mahkamah seawal jam 7 pagi tadi untuk membuat liputan.
Pada 10 Mac lalu, Diana atau nama sebenarnya Diana Danielle Danny Beeson memfailkan permohonan cerai di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari.
Alasan diberikan pelakon filem Imaginur itu adalah tiada persefahaman, sudah berlaku shiqaq atau perbalahan berpanjangan dan tidak dapat lagi hidup bersama sebagai suami isteri.
Bagaimanapun, Farid enggan melafazkan cerai terhadap Diana.
Sehubungan itu, Hakim Syarie, Shukran Yusof memerintahkan Farid dan Diana untuk menjalani proses JKP.
Farid dan Diana mendirikan rumah tangga pada 3 November 2012 dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Muhammad, 10, dan Aurora, 8. (Harian Metro Online)