Shah Alam: “Afiq tidak beri kerjasama langsung. Dia tahu mengenai tuntutan cerai fasakh pada hari ini tetapi enggan memberi kerjasama,” kata isteri kepada pelakon Afiq Muiz, Pachara Apin, 32.
Pachara atau nama Islamnya, Nur Aaira Mahdeya berkata demikian ketika diminta mengulas tindakannya membuat permohonan tuntutan cerai secara fasakh di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, di sini, hari ini.
Mengulas mengenai dakwaan pernah dikasari Afiq seperti yang dinyatakan di Facebook dan TikTok tahun lalu, Pachara tetap mempertahankan kenyataannya itu.
“Apa yang saya nak beritahu, sebelum ini dia (Afiq) ada buat laporan polis yang mengatakan saya fitnah tapi saya tak fitnah.
“Mengenai bukti, saya rasa semua orang dah nampak. Pada masa sama kita sedang berpuasa. Lagipun sebelum ini hanya saya saja yang banyak bercakap dan masyarakat pun dah nampak bukti-bukti ini.
“Kita tunggulah bicara terakhir pada 6 April ini,” katanya ketika ditemui di mahkamah.
Sementara itu, peguam Syarie yang mewakili Pachara, Suriati Ab Ghani berkata, sebelum ini pihaknya sudah memfailkan cerai secara baik pada Ogos tahun lalu tetapi Afiq gagal dihubungi.
“Bila tak sampai pada tangan dia, jadi kes tak boleh jalan dan terpaksa ambil kaedah menggunakan tuntutan fasakh’,” katanya.
Suriati berkata, Pachara juga tidak menerima nafkah dan digantung tidak bertali sejak Julai 2021.
“Dia gantung tidak bertali sejak Julai 2021 sehingga sekarang dan memang dia sudah tinggalkan Pachara,” katanya.
Terdahulu, Pachara yang juga pelakon berasal dari Ranau, Sabah itu memuat naik kenyataan di Facebook dan TikTok mendakwa Afiq pernah mengasarinya sehingga membuatkan kaki serta jarinya patah.
Luahan dan perkongsian Pachara turut meraih komen balas adik kepada Afiq yang juga pelakon, Aishah Azman yang nyata bengang dengan tindakan wanita itu kerana didakwa membuat kenyataan palsu di media sosial.
Susulan dari kenyataan Pachara, Afiq membuat laporan di Balai Polis, Dengkil, Selangor tahun lalu untuk membersihkan namanya yang dicalarkan Pachara.
Afiq juga mengambil tindakan undang-undang berhubung fitnah yang dilemparkan Pachara sehingga mencalarkan maruahnya dan keluarga.
Afiq dan Pachara berkahwin pada 27 Mac 2019 selepas setahun berkenalan di set penggambaran drama Air Mata Syurga. (Sumber Harian Metro Online)