LONDON: Pengurusan tertinggi Manchester United meluluskan peruntukan bernilai 80 juta pound (RM433 juta) untuk membawa masuk penyerang sensasi England, Harry Kane dari Tottenham.
Kane, 29, dikatakan mahu meninggalkan Spurs selepas 14 tahun menyarung jersi kelab London itu apabila pasaran perpindahan musim panas dibuka, Jun nanti.
Chelsea, Bayern Munich dan Barcelona antara pasukan yang mengintai khidmat Kane, namun United dikatakan menjadi ‘pilihan utama’ dan bersedia menyelesaikan perjanjian ‘dalam beberapa minggu’.
Pengurus Red Devils, Erik ten Hag amat dikenali sebagai peminat kapten England itu, yang terus mengukuhkan statusnya sebagai penjaring terhebat dengan memahat rekod bersama skuad kebangsaan baru-baru ini.
Minggu lalu, Kane memintas rekod Wayne Rooney sebagai penjaring gol terbanyak England sepanjang masa, pencapaian yang turut dilakukan bersama Tottenham awal musim ini.
Ten Hag tidak sabar untuk mendapatkan penyerang itu, yang sebelum ini membatalkan hasrat menyertai Manchester City pada 2021.
Pengerusi Tottenham, Daniel Levy menggagalkan perpindahan Kane ke City dua tahun lalu, namun Spurs yang ketika ini tidak mempunyai pengurus selepas memecat Antonio Conte dijangka tidak menghalang Kane daripada mengejar cita-citanya.
Bintang Tottenham itu akan memasuki 12 bulan terakhir kontraknya dan Levy masih tamak kerana tidak mahu melepaskannya secara percuma.
Kane yang akan mencecah umur 30 tahun sebelum permulaan kempen 2023/22024 tidak sabar-sabar mahu memenuhi cita-citanya untuk menjulang trofi kejuaraan setelah terlepas peluang itu sepanjang kerjayanya yang cemerlang sebelum ini. – (Sumber Utusan Malaysia Online)