KUALA LUMPUR: Mengambil kira kesusahan dialami sesetengah masyarakat, TV9 dengan kerjasama ST Rosyam Mart terus menggerakkan kempen Ramadan dengan menawarkan harga barangan keperluan istimewa buat pembeli buat tahun kedua.
Sehubungan itu, TV9 dan ST Rosyam Mart melancarkan kempen Ramadan, Janji Berbaloi 149 yang menawarkan pek barangan masakan pada harga serendah RM1.49 di cawangan baharu ST Rosyam Mart Sungai Buloh, Sabtu lalu.
Pengurus Besar, Pengurusan Program dan Penyiaran TV9, Khairunnisa Kamarulzaman, berkata usaha digerak bersama ST Rosyam Mart bertujuan meringankan beban pembeli selepas masyarakat terpaksa berdepan dengan kenaikan harga barangan keperluan.
“Ini adalah kempen dianjurkan TV9 dalam bulan Ramadan ini. Seperti tahun lalu, kami menjalankan kempen yang memberi peluang kepada 2,000 orang mendapatkan ayam dengan harga RM1.49.
“Jadi, untuk tahun ini kami buat barangan dapur pula. Kalau harga sebenar pek itu adalah RM60, tetapi kami tawarkan dengan harga RM1.49 terhad kepada 250 pembeli terawal.
“Tahun ini dengan keadaan ekonomi semasa berdepan kenaikan harga barang, kami menjual 13 jenis barangan asas dapur berlainan dengan harga istimewa.
“Semoga usaha ini dapat meringankan beban penonton menyambut Ramadan dan Syawal,” katanya ditemui pada pelancaran kempen itu di cawangan baharu ST Rosyam Mart Sungai Buloh.
Khairunnisa berkata, pihaknya akan terus bekerjasama dengan menjalankan pelbagai inisiatif yang mampu meringankan beban golongan memerlukan untuk tahun akan datang,
“Kalau ada rezeki niat kami mahu lakukan apa sahaja kempen boleh membantu pembeli.
“Untuk tahun seterusnya kami akan mencari jalan yang boleh membantu meringankan beban keluarga.
“Ini juga sebahagian tanggungjawab sosial TV9 untuk membantu pembeli dalam bulan Ramadan. Apatah lagi, kenaikan harga barang sentiasa berlaku.
“Jadi, dengan RM1.49 ini dapat meringankan beban termasuk menceriakan Ramadan dan Aidilfitri,” katanya.
Tawaran istimewa mendapat sambutan hangat apabila orang ramai mula beratur seawal jam 8.30 pagi untuk mendapatkan kupon pembelian.
Pek ditawarkan adalah barangan digunakan bagi menyediakan juadah berbuka dan sahur. Antaranya beras, bawang putih, garam, minyak masak, telur, santan kelapa, tepung gandum, kicap manis dan bawang besar.
Selain pembelian pek Janji Berbaloi 149, pengunjung berpeluang menemui Datuk Rosyam Nor yang mewakili ST Rosyam Mart.
Yang turut hadir, selebriti dan juri tetap program realiti masakan TV9, Dapur Tempur Ra-Ra iaitu Michael Ang.
Sementara itu, Rosyam teruja apabila TV9 masih berminat menjalin kerjasama bagi tahun kedua.
“Saya bersyukur TV9 masih memilih ST Rosyam Mart bagi menjayakan kempen Ramadan ini. Walaupun ada banyak pasar raya lain di Malaysia, namun mereka pilih kami.
“Cara kami sama seperti dahulu di mana mahu membantu masyarakat dengan tawaran harga berbaloi. Ini adalah satu ‘perkahwinan’ yang akan kekal sejati untuk masa akan datang,” katanya.
Kata Rosyam, buat masa ini, dia bersama pengurusan pasar raya yang beroperasi selama 24 jam itu akan memfokuskan kepada cawangan di sekitar Lembah Klang sebelum mula bergerak ke beberapa negeri lain.
“Kami ada perancangan membuka cawangan di Rawang, Putrajaya, Puchong dan Bangi. Buat masa ini, fokus kami di Lembah Klang sahaja. Kami mahu berkembang secara organik.
“Memang ada beberapa negeri menjemput untuk membuka cawangan baharu, tetapi bila melihat perbelanjaan logistik yang besar, harga barang akan jadi mahal.
“Jadi, kami fokus di Lembah Klang dan mungkin akan ambil masa dalam 10 tahun untuk dibuka di negeri-negeri lain,” katanya.
Dalam masa sama, Rosyam berkata, pihaknya akan sentiasa memberi tawaran harga yang terbaik untuk setiap pembeli.
“Dari segi kawalan harga barangan tiada masalah. Ada barang yang sudah ditetapkan harganya dan ada barangan yang mengikut keadaan semasa. Kami cuba bagi harga yang terbaik kepada pembeli.
“Kami mempunyai pelbagai barangan yang didapatkan daripada pembekal dalam negara termasuk pembekal dari luar negara,” katanya. (Sumber Berita Harian Online)