Adinda Amirul teringatkan arwah isteri menjelang Aidilfitri

Gambar kenangan Adinda Amirul Bersama arwah isterinya, Noor Lailatul Badariah – Gambar Harian Metro Online

Seberang Jaya: “Ampunkan dosa mama, tolong doakan mama.” Itu kata-kata terakhir Noor Lailatul Badariah Zakaria sebelum diintubasi (ditidurkan) dan menghembuskan nafas terakhir tiga hari kemudian pada April tahun lalu.

Ungkapan itu diluahkan kepada suaminya, Andinda Amirul Abdul Rasid, 28, yang membisikkan kalimah syahadah kepada Noor Lailatul Badariah walaupun ketika isterinya tidak sedar dengan harapan wanita itu bangun namun Allah lebih menyayanginya.

Tanggal 5 April lalu, genap setahun Noor Lailatul Badariah Zakaria meninggal dunia dan sejak itu, Andinda Amirul Abdul Rasid meneruskan hidup sendiri tanpa insan bergelar isteri.

Noor Lailatul Badariah meninggal dunia pada 3 Ramadan akibat jangkitan kuman dalam darah dan pemergian wanita itu memberi kesan mendalam buat Andinda Amirul hingga lelaki itu mengalami kemurungan.

Hingga kini, Andinda Amirul masih bersedih kerana terkenangkan isterinya namun enggan terbuai dengan perasaan memandangkan perlu membesarkan dua anak, Nurul Iman Uqasha, 7, dan Mohammad Rayqal Mikhail, 5, yang kini tinggal dengan keluarga mentua di Sik, Kedah.

Demi kelangsungan hidup, Andinda Amirul terpaksa berjauhan dengan dua anaknya kerana mencari rezeki sebagai operator pengeluaran di sebuah kilang di sini.

Kisah bapa tunggal itu mendapat perhatian di TikTok selepas memuat naik gambar bersama dua anaknya dengan kapsyen mencari wanita sebagai ‘ibu’ untuk bergambar dengan mereka bertiga pada pagi Aidilfitri nanti.

 Bercerita lanjut, Andinda Amirul berkata, isterinya menderita akibat penyakit kulit sejak Disember lalu.

“Lama kelamaan kesihatan isteri semakin merosot hingga akhirnya meninggal dunia di Hospital Pulau Pinang di sisi saya.

“Selepas ketiadaan isteri, saya jadi murung hingga setiap hari menangis cuma tidak tunjuk depan orang lain.

“Sebulan juga saya ambil cuti selepas isteri meninggal dunia namun kembali bekerja sebab fikir ada tanggungjawab untuk sara anak dan fikir ada komitmen memandangkan banyak benda nak bayar,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurut Andinda Amirul, keluarga termasuk saudara-mara dan rakan juga antara individu terdekat yang banyak beri semangat untuk kembali bangkit.

“Syukur juga kerana keluarga mentua banyak membantu menjaga anak. Sekurang-kurangnya, saya tak perlu cari pengasuh lain cuma sudah jadi rutin saya pulang ke Sik pada hujung minggu untuk melawat anak,” katanya.

Berkongsi kisahnya yang menyambut Ramadan dan Aidilfitri kali kedua tanpa isteri, Andinda Amirul berkata, cabarannya tahun lalu adalah untuk berterus terang dengan dua anaknya yang ibu mereka sudah tiada.

Tahun ini, keadaan lebih baik, malah dia sudah beli kelengkapan raya anaknya walaupun mereka tidak meminta daripadanya.

“Mula-mula dulu mereka (anak) tak tahu tapi menangis pada hari kematian isteri sampai tak nak tengok wajah ibu mereka.

“Raya tahun lalu anak bongsu tanya mana mama hingga saya terdiam kerana sebak dan tersentak dengar pertanyaan itu.

“Bagaimanapun, saya cuba fahamkan mereka dengan beritahu mama mereka ada di syurga. Alhamdulillah…mereka sudah faham sekarang,” katanya.

Meskipun tidak mudah hidup tanpa pasangan selepas lapan tahun hidup berumah tangga, Andinda Amirul belum bersedia mencari pengganti.

“Ada ketika, saya berasa hilang semangat juga kerana waktu isteri ada dulu, ada juga teman untuk diajak bersembang,” katanya. (Sumber Harian Metro Online)

Related Articles

[td_block_social_counter facebook="mykosmopolitan" twitter="tagdivofficial" youtube="tagdiv" style="style8 td-social-boxed td-social-font-icons" tdc_css="eyJhbGwiOnsibWFyZ2luLWJvdHRvbSI6IjM4IiwiZGlzcGxheSI6IiJ9LCJwb3J0cmFpdCI6eyJtYXJnaW4tYm90dG9tIjoiMzAiLCJkaXNwbGF5IjoiIn0sInBvcnRyYWl0X21heF93aWR0aCI6MTAxOCwicG9ydHJhaXRfbWluX3dpZHRoIjo3Njh9" custom_title="Stay Connected" block_template_id="td_block_template_8" f_header_font_family="712" f_header_font_transform="uppercase" f_header_font_weight="500" f_header_font_size="17" border_color="#dd3333" open_in_new_window="y" manual_count_facebook="525"]
- Advertisement -spot_img

Latest Articles