ANUAR Zain bakal tampil bersama pelajar Sekolah Seri Putri (SSP) di Konsert Gala Seri Puteri Simfonik Winds, Mei ini.
Ia pertama kali SSP menganjurkan konsert amal Flourishes 23: Symphonic Gala Concert sebagai salah satu cara pengumpulan dana.
Ia yang dijayakan bersama Orkestra Simfonik Wind Seri Puteri (SPWinds) bertujuan mengumpul dana bagi meneruskan legasi kecemerlangan.
SPWinds memerlukan dana sebanyak RM900,000 untuk menyertai International Orchestra Festival and Competition Golden Sardana di Barcelona, Sepanyol tahun ini.
Selain penampilan khas Anuar, konsert amal itu mendapat sokongan Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.
SPWinds adalah orkestra yang ditubuhkan pada 1976 di SSP. Ia juga diiktiraf sebagai School of Global Excellence (SGE) oleh kementerian.
SPWinds juga sudah memanifestasi pengiktirafan SGE dengan memenangi pelbagai pertandingan peringkat antarabangsa.
Antaranya, SPWinds mengharumkan nama negara di pentas ternama dunia muzik klasik seperti Carnegie Hall di New York dan Golden Hall Musikverein di Vienna, Austria.
Pelbagai kejayaan yang diraih menjadikan SSP antara sekolah terbaik di Malaysia.
Melalui konsert ini, SPWinds mengharapkan kerjasama pihak swasta serta mengalu-alukan sumbangan individu dan tajaan pihak korporat dalam menjayakan misi Road To Barcelona tahun ini. (Sumber Harian Metro Online)