MILAN: Inter Milan hanya tinggal selangkah lagi untuk mara ke pentas final Liga Juara-Juara selepas mencatat kemenangan selesa 2-0 ke atas AC Milan dalam saingan separuh akhir pertama, awal pagi tadi.
Inter mempunyai kelebihan menjelang saingan kedua separuh akhir, berterima kasih kepada jaringan pertama Edin Dzeko dan Henrikh Mkhitaryan dalam tempoh 11 minit awal permainan.
Pasukan mungkin boleh mencatat jumlah jaringan lebih besar dalam perlawanan namun rembatan Hakan Calhanoglu tersasar manakala Dzeko terlepas peluang yang terhidang pada awal babak kedua.
Inter nyata berada di landasan selesa dan menjadi pilihan utama untuk mara ke pentas final kejohanan berprestij itu buat kali pertama sejak kali terakhir mereka menjulang trofi berkenaan, 13 tahun lalu.
“Kadangkala saya tidak menjaringkan gol dan itu menjadi topik perbualan namun saya juga memberikan sesuatu yang lain,” kata Dzeko kepada media mengenai jaringan ketiganya sejak Januari lalu.
“Hari ini, saya berusaha untuk pasukan dan itu adalah sesuatu yang paling diperlukan dalam perlawanan penting.”
Mara ke pentas final pastinya akan mengubat duka Inter yang sebelum ini pernah ditunjuk jalan keluar di separuh akhir dan suku akhir di tangan Milan pada 2003 dan 2005.
Pemenang dijadual bertemu sama ada penyandang juara Real Madrid ataupun Manchester City di pentas final pada 10 Jun ini di Istanbul.
Semalam, Real Madrid dan Manchester City masing-masing terikat 1-1 di Stadium Santiago Bernabeu.
Dalam pada itu, Milan mengharapkan Rafael Leao dapat diturunkan pada pertembungan kedua, minggu depan.
Ketiadaan Leao nyata meninggalkan kesan besar kepada Milan terutama di bahagian serangan dan Inter nyata mengambil peluang itu pada perlawanan separuh akhir pertama ini.
“Kami dibolosi dua gol awal, dan menentang Inter menjadikan ia bertambah sukar untuk bangkit,” kata Fikayo Tomori.
“Kami kecewa, kami sepatutnya boleh melakukan yang lebih baik terutama pada awal saingan tetapi kami perlu meletakkan kepercayaan sekiranya kami (mahu) mara ke final.” – (Sumber Berita Harian Online)