fbpx

Amelia Henderson fail rayuan ganti rugi RM200,000

KUALA LUMPUR: Kemelut isu pelanggaran kontrak drama di antara pelakon Amelia Henderson dan syarikat produksi A. Aida Production Sdn. Bhd. belum selesai apabila selebriti itu memfailkan rayuan terhadap perintah agar beliau membayar ganti rugi lebih RM200,000.

Peguam Wan Nurliyana Abdul Rahman yang mewakili Amelia memberitahu wakil media, pihaknya telah memfailkan rayuan pada 18 April lalu di Pejabat Pendaftraran Mahkamah Tinggi di sini.

Peguam itu berkata, Amelia akan merayu terhadap keseluruhan keputusan Mahkamah Sesyen Sivil namun beliau enggan mendedahkan butir rayuan secara terperinci.

Pada 7 April lalu, Mahkamah Sesyen di sini memerintahkan Amelia atau nama sebenarnya Amelia Thripura Henderson, 28, membayar ganti rugi lebih RM200,000 kepada syarikat produksi A. Aida Production Sdn. Bhd.

Hakim Zulqarnain Hassan memutuskan demikian selepas membenarkan tuntutan saman yang dikemukakan syarikat produksi itu selaku plaintif terhadap Amelia selaku defendan.

Dalam penghakimannya, hakim itu berkata, mahkamah mendapati Amelia telah diikat dengan kontrak yang ditandatangani untuk membintangi drama Sekali Lagi Cinta Kembali.

“Mahkamah telah meneliti kontrak yang ditandatangani oleh kedua-dua belah pihak (plaintif dan defendan). Menolak terma kontrak bukan lagi suatu pilihan, tiada alternatif pada defendan setelah menurunkan tandatangan, defendan hendaklah menunaikan kontrak.

“Dengan perkataan lain, hanya satu pilihan pada defendan iaitu tunaikan kontrak yang ditandatangani. Atas imbangan kebarangkalian, mahkamah berpuas hati plaintif (syarikat produksi A. Aida) berjaya membuktikan tuntutan,” kata hakim itu ketika membaca keputusannya pada prosiding lalu.

Penghakiman mahkamah juga mendapati Amelia sendiri bersetuju membintangi drama itu selain turut bersetuju watak yang ditawarkan iaitu `Aira’ selaku heroin.

Justeru mahkamah memerintahkan Amelia membayar ganti rugi am selain faedah 5% kepada plaintif yang kesemuanya berjumlah lebih RM200,000.

Pada perbicaraan yang bermula 1 November 2022, mahkamah mendengar keterangan tiga saksi daripada plantif termasuk A. Aida atau nama sebenarnya Datuk Zaidah Awang, 53, dan tiga saksi defendan termasuk Amelia.

Semasa perbicaraan, seorang pengurus syarikat produksi memberitahu bahawa A. Aida Production Sdn. Bhd. terpaksa menanggung kerugian akibat pelanggaran perjanjian yang dilakukan Amelia.

Sementara Amelia tetap dengan pendirian menafikan melanggar kontrak ketika dia menerima tawaran dan membintangi drama berjudul Sekali Lagi Cinta Kembali.

Sebelum ini media melaporkan Amelia dan pelakon Idris Khan berdepan dengan tindakan saman daripada A. Aida kerana didakwa melanggar kontrak perjanjian sebuah drama seperti yang sudah ditandatangani sebelum ini.

Bagaimanapun, saman melibatkan A. Aida dan Idris Khan berakhir dengan baik apabila kedua-dua pihak bersetuju menyelesaikannya di luar mahkamah sementara Amelia memilih untuk melawan kes saman itu. – (Sumber Utusan Malaysia Online)

Related Articles

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Stay Connected

525FansLike
3,912FollowersFollow
0SubscribersSubscribe
- Advertisement -spot_img

Latest Articles