UK belanja £162 juta untuk Istiadat pemakaman Ratu Elizabeth II

Istiadat pemakaman Ratu Elizabeth II cecah £162 juta

LONDON: Kerajaan United Kingdom (UK) membelanjakan hampir £162 juta (RM911 juta) bagi urusan pemakaman Ratu Elizabeth II dan acara sampingan lain sepanjang tempoh berkabung selama 10 hari, kata Kementerian Kewangan.

Pemakaman negara pada 19 September 2022 itu berlangsung 11 hari selepas kematian baginda.

Semasa tempoh berkabung nasional itu, ratusan ribu orang melawat Westminster Abbey, tempat jasad baginda ditempatkan.

Menurut laporan portal BBC News, daripada jumlah itu, dua kementerian iaitu Kementerian Dalam Negeri serta Kementerian Kebudayaan, Media dan Sukan menanggung kos yang tinggi.

Kos yang ditanggung kedua-dua kementerian itu masing-masing ialah sebanyak £74 juta (RM416 juta) dan £57 juta (RM321 juta).

Kesemua kos yang ditanggung jabatan kerajaan berkaitan dengan pemakaman mendiang Elizabeth serta acara lain sebelumnya.

Antaranya, termasuk sepanjang jasad baginda ditempatkan di St Giles Cathedral Edinburg bagi membolehkan orang ramai memberi penghormatan terakhir.

Menurut Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan, John Glen, keutamaan kerajaan pada masa itu adalah untuk memastikan acara berkenaan berjalan lancar dan dengan penuh penghormatan, selain memastikan keselamatan orang awam terjaga pada sepanjang masa.

Dalam kenyataan menteri secara bertulis yang disampaikan kepada Parlimen, Glen berkata, Perbendaharaan UK turut menyediakan pembiayaan tambahan pada saat-saat diperlukan selain menjelaskan ‘sepenuhnya’ perbelanjaan yang dikeluarkan terlebih dulu oleh kerajaan Scotland, Wales dan Ireland Utara.

Pendedahan kos turut mencetuskan persoalan sama Britain mampu menanggungnya dalam keadaan ekonomi sekarang yang menyaksikan inflasi tertinggi.

Justeru, tidak kurang yang mempertikaikan perbelanjaan sebegitu besar bagi pamakaman Elizabeth, yang disusuli pula dengan pertabalan Raja Charles III awal bulan ini, ketika sebahagian besar penduduk Britain bergelut untuk meneruskan kehidupan.

Selepas kemangkatan Elizabeth, 96, di Istana Balmoral, Scotland pada 8 September 2022, kerajaan UK mengumumkan tempoh berkabung kebangsaan selama 10 hari.

Jasa mendiang Elizabeth bersemayam di St Giles Cathedral Edinburgh selama 24 jam, sebelum dibawa ke Westminster Abbey di London di mana beribu-ribu orang beratur berjam-jam untuk memberi penghormatan.

Skala pemakaman negara dan tempoh berkabung disifatkan polis sebagai ‘mungkin operasi terbesar yang pernah dilakukan di UK’ pada masa itu.

Pemimpin-pemimpin dari seluruh dunia dan kerabat diraja asing menyertai keluarga diraja England itu bagi pemakaman negara di Westminster Abbey.

Acara pemakaman diraja itu turut ditonton oleh jutaan orang di seluruh dunia.

Ia ada;ah pemakaman negara pertama sejak pengebumian bekas Perdana Menteri, Sir Winston Churchill pada 1965, yang menjadi acara penghormatan terbesar sejak Perang Dunia Kedua. – (Sumber Berita Harian Online)

Related Articles

[td_block_social_counter facebook="mykosmopolitan" twitter="tagdivofficial" youtube="tagdiv" style="style8 td-social-boxed td-social-font-icons" tdc_css="eyJhbGwiOnsibWFyZ2luLWJvdHRvbSI6IjM4IiwiZGlzcGxheSI6IiJ9LCJwb3J0cmFpdCI6eyJtYXJnaW4tYm90dG9tIjoiMzAiLCJkaXNwbGF5IjoiIn0sInBvcnRyYWl0X21heF93aWR0aCI6MTAxOCwicG9ydHJhaXRfbWluX3dpZHRoIjo3Njh9" custom_title="Stay Connected" block_template_id="td_block_template_8" f_header_font_family="712" f_header_font_transform="uppercase" f_header_font_weight="500" f_header_font_size="17" border_color="#dd3333" open_in_new_window="y" manual_count_facebook="525"]
- Advertisement -spot_img

Latest Articles