PETALING JAYA: Selebriti sensasi, Azwan Ali bakal mengambil tindakan saman terhadap sebuah stesen televisyen gara-gara memuat naik kandungan video tular mengenainya tanpa kebenaran.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Azwan yang mesra disapa sebagai Diva AA berkata, dia sudah berbincang dengan pihak peguam bagi meneliti perkara tersebut supaya menjadi pengajaran kepada semua pihak.
“Saya masih terkilan dengan tindakan sebuah stesen televisyen yang menjadikan isu tular sebagai batu loncatan menaikkan rating mereka.
“Saya sudah dapat cerita sebenar daripada mulut Diva BB sendiri dan tunggu tindakan terhadap stesen tersebut,” katanya.
Sejak beberapa hari lalu, tular dalam media sosial mengenai video parodi seorang pempengaruh lelaki yang menggelarkan diri sebagai Diva BB dengan meniru aksi dan gaya Azwan.
Lebih sensasi, apabila tular klip video kononnya berlaku pertemuan mesra antara Azwan dengan Diva BB yang terkenal menjual durian di Balik Pulau, Pulau Pinang.
Azwan bagaimanapun menjelaskan situasi sebenar kerana dia belum berdamai sepenuhnya dengan Diva BB yang kerap meniru aksinya.
Malah katanya, dia tidak teragak-agak mengambil tindakan saman terhadap pempengaruh tersebut kerana dianggap mencalarkan imejnya sebagai selebriti.
“Video yang tular itu berlaku secara kebetulan sebab saya ada jemputan di Balik Pulau. Banyak portal dan blog tulis seolah-olah saya sudah berdamai dengan Diva BB.
“Hakikatnya, saya memang serius hendak saman sebab isu ini masih tegang. Klip video itu menunjukkan sekalipun saya berhadapan dengan musuh, saya tetap menghormati situasi sebab tempat itu sesak dipenuhi orang ramai.
“Isu parodi Diva BB sudah sampai ke peguam saya. Kita yakin ada hak dan remedi yang membolehkan kes ini dibawa ke tahap saman di mahkamah,” jelasnya. – (Sumber Utusan Malaysia Online)