WASHINGTON: Kesemua lima penumpang kapal selam Titan yang mahu meneroka sisa bangkai kapal persiaran mewah, Titanic, di dasar Laut Atlantik disahkan meninggal dunia.
Pengawal Pantai Amerika Syarikat (AS) berkata, kapal selam itu, yang dilaporkan hilang sejak Ahad lalu, dipercayai meletup berdekatan dengan Titanic dan ahli keluarga semua mangsa tragedi tersebut telah dimaklumkan.
Serpihan kapal selam berkenaan yang ditemui pasukan pencarian dan penyelamat berhampiran Titanic, sekali gus menjadi petunjuk perjalanan Titan berakhir di Laut Atlantik.
Bahagian ekor Titan bersama serpihan lain ditemui kira-kira 500 meter dari bangkai Titanic, yang terletak pada kedalaman 4,000 meter di bawah laut berkenaan.
Dalam perkembangan sama, syarikat yang mengedalikan ekspedisi berkenaan, OceanGate berkata, kesemua penumpang Titan termasuk Ketua Pegawai Eksekutifnya (CEO), Stockton Rush, dipercayai meninggal dunia.
Empat mangsa lain dikenal pasti sebagai Shahzada Dawood serta anaknya Suleman Dawood, jutawan British Hamish Harding dan Paul-Henri Nargeolet.
“Dengan penuh rasa duka, kami kini mempercayai bahawa CEO kami, Stockton Rush, Shahzada Dawood dan anaknya Suleman Dawood, Hamish Harding, dan Paul-Henri Nargeolet, telah hilang,” kata syarikat itu dalam kenyataan yang dikeluarkan.
Dawood adalah seorang ahli perniagaan berbangsa Pakistan-Britain dan anaknya berusia 19 tahun.
Harding, 58, pula seorang billionair Britain, manakala, Nargeolet merupakan seorang peneroka berusia 77 tahun dari Perancis.
OceanGate mengenakan bayaran sebanyak AS$250,000 (RM1.2 juta) setiap seorang bagi menyertai ekspedisi ke bangkai Titanic, yang terletak pada kedalaman 3,800 meter dan 700 kilometer selatan St John’s, Newfoundland.
Kapal selam OceanGate yang dilaporkan hilang itu mampu memuatkan lima orang dengan bekalan oksigen selama empat hari.
Bagaimanapun, OceanGate tidak mendedahkan butiran lanjut mengenai bagaimana ia mengesahkan kesemua penumpang meninggal dunia. – (Sumber Berita Harian Online)