Kuala Lumpur: Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) membuat keputusan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3.00 peratus.
Kadar berkenaan dikekalkan selepas kenaikan pertama diumumkan pada mesyuarat Mei lalu, selepas penanda aras bagi kadar pinjaman dan deposit di Malaysia itu dikekalkan pada kadar 2.75 peratus pada Januari dan Mac tahun ini.
MPC sebelum ini mengekalkan OPR pada kadar 2.75 peratus selepas empat kenaikan berturut-turut dicatatkan sejak tahun lalu bermula Mei, Julai, September dan November 2022.
Paras terendah OPR adalah 1.75 peratus pada tahun lalu.
BNM dalam kenyataan hari ini berkata, ekonomi global terus berkembang, didorong oleh keadaan permintaan dalam negeri yang berdaya tahan dengan sokongan keadaan pasaran pekerja yang teguh.
“Bagaimanapun, pertumbuhan global terus terjejas disebabkan oleh inflasi teras yang berlarutan dan kadar faedah lebih tinggi.
“Meskipun pembukaan semula China terus menyokong ekonomi global, kadar
pemulihannya menjadi perlahan pada bulan-bulan kebelakangan ini.
“Pada peringkat global, inflasi keseluruhan terus menurun, namun inflasi teras masih melebihi purata yang dicatatkan sebelum ini,” katanya.
Menurutnya, pendirian dasar monetari bagi kebanyakan bank pusat dijangka kekal ketat.
“Prospek pertumbuhan terus bergantung pada risiko pertumbuhan menjadi lebih perlahan, terutamanya disebabkan oleh momentum ekonomi utama yang lebih perlahan, inflasi sebenar yang lebih tinggi daripada jangkaan, ketegangan geopolitik yang semakin meruncing dan keadaan pasaran kewangan yang menjadi ketat secara mendadak,” katanya. (Sumber Harian Metro Online)