RIYADH: Pemain tengah Brazil, Fabinho menandatangani kontrak tiga tahun bersama kelab Arab Saudi, Al-Ittihad selepas melengkapkan perpindahan dari Liverpool awal pagi tadi.
Pemain berusia 29 tahun itu diketepikan daripada skuad pramusim Liverpool bagi kunjungan ke Jerman dan Singapura selepas Al-Ittihad melakukan bidaan £40 juta (RM232 juta) terhadapnya.
Dia akan menyertai Karim Benzema dan N’Golo Kante di Al-Ittihad, satu daripada empat kelab Arab Saudi yang dikawal oleh dana kekayaan negara Teluk itu.
Fabinho menyertai Liverpool dari AS Monaco pada tahun 2018 dan melakukan 219 penampilan bersama The Reds, memenangi Liga Juara-Juara, Liga Perdana Inggeris, Piala FA, Piala Liga dan Piala Dunia Kelab.
“Hari ini saya meninggalkan rumah saya. Sudah lima tahun saya menyarung jersi ini dan sering kali dengan penghormatan dan kebahagiaan sebesar mungkin,” ciap Fabinho di Twitter, yang kini dijenamakan semula sebagai X.
“Sejak hari pertama di Liverpool, saya diterima baik oleh setiap orang,” katanya. “Dalam lima tahun ini, saya berkembang sebagai pemain, sebagai lelaki, impian saya menjadi kenyataan… Dengan jersi ini, saya menang setiap kejuaraan yang boleh diimpikan seorang pemain.”
Pemergiannya hadir selepas kapten Liverpool, Jordan Henderson menamatkan karier 12 tahun di Anfield minggu lalu, berpindah ke Arab Saudi untuk bermain dengan Al-Ettifaq, yang dilatih oleh Steven Gerrard.
Warga senegara Fabinho, Roberto Firmino meninggalkan Merseyside untuk menyertai Al-Ahli awal bulan lalu.
Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp turut menyaksikan pemain tengah Naby Keita, Alex Oxlade-Chamberlain dan James Milner meninggalkan pasukan secara perpindahan percuma sejak musim lalu berakhir.
Namun kelab itu sudah mengukuhkan bahagian itu dengan pembelian Alexis Mac Allister dan Dominik Szoboszlai. – (Sumber Berita Harian)