Kisah isteri pertama pempengaruh viral, Abang Tesla dimadukan kerana belum hamil walau telah lima tahun berkahwin, membuatkan ramai terkesan. Ini termasuklah seorang Tok Bidan Tradisional, Siti Khotijah Hamid, 54 tahun, yang turut terasa dengan kisah viral ini.
Siti Khotijah berpengalaman sejak tahun 2007 dalam amalan urut tradisional yang memfokuskan kepada rawatan ikhtiar hamil. Tok Bidan yang dikenali sebagai Kak Ketty dalam kalangan masyarakat setempat melahirkan rasa simpati apabila wanita bernama Nurmajdina Jamari ini dimadukan atas alasan zuriat.
“Bila tahu isteri pertama Abang Tesla itu dimadukan kerana belum hamil, Kak Ketty rasa simpati betul dengan nasibnya. Terasa nak sangat cuba bantu mereka ikhtiar hamil dengan cara urut. Pelanggan kak datang dari merata-rata tempat seluruh semenanjung untuk cuba ikhtiar dapat baby dengan cara urut tradisional. Alhamdulillah, boleh dikatakan 70 peratus pelanggan kak berjaya hamil selepas beberapa kali sesi rawatan urut,” kata Kak Ketty memulakan bicara.
Menurutnya, ada pelbagai cara boleh dilakukan untuk ikhtiar mendapat zuriat. Selain rawatan moden yang dijalani di hospital atau pusat perubatan, pasangan suami isteri boleh juga menjalani rawatan urut tradisional.
“Kadang-kadang keadaan sistem dalaman terutama peranakan wanita ada sedikit masalah. Dengan cara urut, Kak Ketty cuba menggunakan teknik urut, mencari urat dan melancarkan fungsi dalaman. Tiada satu rawatan pun yang berkesan 100 peratus. Kita cuba ikhtiar dan serahkan kepada Allah SWT atas semua usaha yang telah dibuat,” kata Kak Ketty yang juga kurang bersetuju dengan tindakan lelaki itu memadukan isterinya atas alasan belum ada anak dalam tempoh lima tahun berkahwin.
RAWATAN IKHTIAR ZURIAT PERCUMA
Kak Ketty terpanggil untuk menawarkan rawatan urut tradisional ikhtiar zuriat percuma kepada isteri pertama Abang Tesla. Katanya, dia ingin membantu dengan kemahiran mengurut yang telah diamalkan sejak tahun 2007 lagi.
“Untuk ikhtiar hamil, suami dan isteri ada peranan masing-masing. Bahagiakanlah isteri. Isteri yang bahagia lebih mudah hamil kerana emosinya terjaga. Untuk mudah hamil juga, selepas berurut, kena jaga pemakanan dan juga jaga emosi,” kata Kak Ketty.
Penggunaan minyak urut buatan sendiri menggunakan resipi daripada ibunya juga turut membantu dalam melancarkan sesi urutan sekali gus memberikan manfaat kepada kesihatan dalaman tubuh wanita.
“Minyak urut buatan sendiri ni sangat elok untuk manfaat kesihatan badan. Kak Ketty buat sendiri minyak ini. Ramuannya menggunakan berjenis-jenis herba dan juga pelbagai jenis daun kayu. Paling berkesan untuk membuang angin dalam badan. Kalau ada masalah angin, si pemakai akan kentut-kentut sehingga lega rasa perut,” kata Kak Ketty.
Sesi rawatan ikhtiar zuriat dijalani selama dua jam bagi setiap sesi. Tiada pantang larang untuk mengurut pada waktu pagi, petang atau malam. Kak Ketty menyarankan untuk individu yang ingin ikhtiar zuriat supaya datang berurut setiap bulan ketika sedang datang haid. Misalnya datang haid pada 1 haribulan. Mereka digalakkan datang berurut antara 1 haribulan hingga 10 haribulan. Jika bulan depan masih lagi belum mengandung, ulangi urut ketika haid bulan depan.
“Mencatat tarikh datang haid juga adalah salah satu hal yang amat penting. Untuk ikhtiar zuriat, kita sendiri kena ambil tahu mengenai tempoh waktu subur kita dan bersama dengan pasangan ketika tempoh tersebut,” ujar Kak Ketty lagi.
Selain itu, Kak Ketty turut menasihatkan orang ramai supaya jalani rawatan mengurut dengan individu yang mahir mengurut sahaja. Jika berurut dengan individu yang tidak mahir, dibimbangi boleh memudaratkan kesihatan. Bukannya semakin sembuh, namun keadaan jadi bertambah teruk.
MASIH BERTENAGA MENGURUT PADA USIA 54 TAHUN
Pada usia 54 tahun, biasanya seseorang itu sudah kurang bertenaga untuk mengurut. Apatah lagi mengurut seramai tiga orang pelanggan dalam masa sehari iaitu pada sesi pagi, petang dan malam. Tempoh mengurut pula antara satu jam 30 minit hingga dua jam untuk satu sesi.
Penggunaan tenaga yang banyak ditambah pula ketelitian mengurut memerlukan seseorang itu untuk kekal bertenaga. Sentuhan dan tekanan mengurut diperlukan untuk memberi kelegaan kepada individu yang diurut. Justeru, tidak dinafikan bahawa tenaga amat penting.
Telah lebih 16 tahun mengurut, tidak dinafikan kak Ketty sudah mempunyai pelanggan tetap dan mampu mengurut selama tiga sesi sehari.
Apakah rahsianya?
“Sebelum mulakan sesi mengurut, Kak Ketty akan pastikan isi perut dahulu. Kak tak buat kerja dalam keadaan perut kosong. Benda ini nampak remeh tapi ini adalah salah satu amalan Kak Ketty. Membiarkan perut masuk angin sangat tidak bagus untuk kesihatan. Sebagai tukang urut, kesihatan diri kita kena jaga dulu. Bila tubuh kita sihat barulah mudah untuk kita bantu sihatkan tubuh orang lain pula,” kata Kak Ketty menutup bicara.